PBS, UMNO Sabah, STAR Sabah & PBRS Tubuh Gabungan Bersatu Sabah (GBS)

KOTA KINABALU, 25 Okt – Menyedari nadi rakyat yang dahagakan perpaduan dan kekuatan politik di kalangan parti-parti politik di Sabah, empat parti di negeri tersebut telah berbincang dan bersetuju untuk menubuhkan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) secara rasmi hari ini, jelas pengerusi interimnya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Menurutnya, GBS dianggotai oleh empat parti politik iaitu Parti Bersatu Sabah, UMNO Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Dari segi strukturnya, keempat-empat parti politik dalam GBS telah bersetuju untuk melantik saya sebagai Pengerusi Interim, manakala presiden atau ketua-ketua komponen parti akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi bersama iaitu Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili (Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden PBS), YB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Noor (Pengerusi UMNO Sabah), YB Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Presiden STAR Sabah) dan Yang Berbahagia Tan Sri Joseph Kurup (Presiden PBRS) dan YB Datuk Seri Panglima Anifah Aman.

“YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun akan memegang jawatan Setiausaha Agung; manakala Yang Berbahagia Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak sebagai Bendahari dan YB Datuk Joniston Bangkuai sebagai Ketua Penerangan. Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah secara automatik menjadi Ahli Jawatankuasa GBS,” jelasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Jelas bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu lagi, GBS bersedia untuk mengambil-alih dari tampuk kerajaan sedia ada yang sehingga ke hari ini belum disahkan statusnya serta akan memastikan Malaysia dan Sabah kekal harmoni dan bersatu, di samping meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi negeri dan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

“Selepas lima bulan ‘berkuasa’, kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan bukan sahaja gagal menjalankan kerja seperti yang diamanatkan oleh rakyat, tetapi juga memperlihatkan kelemahan mereka.

“Antaranya ialah memperjuangkan hak-hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutan dan Perjanjian Malaysia 1963; membantu pemohon yang tidak layak mendapatkan dokumen pengenalan diri; Empangan Kaiduan; Projek Tanjung Aru Eco-Development (TAED); dan lain-lain,” ujarnya.

Tambahnya lagi, GBS akan berkerja keras untuk memperbaiki keadaan kucar-kacir yang melanda pentadbiran negeri tersebut apabila mengambil alih tampuk pemerintahan kelak.

“Kami juga bersedia untuk menghadapi mereka dan memenangi pilihan raya umum pada bila-bila masa. GBS juga akan memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan demi kesejahteraan Malaysia Baharu dan Sabah.

“Perkara-perkara khusus, penting dan serta-merta yang akan diberi keutamaan oleh GBS adalah sepertimana dalam edaran media yang dikeluarkan. Kami menjemput dan merayu semua rakyat tulin negara Malaysia di negeri Sabah untuk mendokong dan menyertai perjuangan murni ini demi menyelamatkan Sabah dan memperjuangkan kemajuan, keselamatan, integriti wilayah serta kemakmuran negeri Sabah yang tercinta,” katanya lagi. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.