Generasi Muda Gesa Kerajaan Cipta Peluang Pekerjaan, Fokus Kebajikan Rakyat

KUANTAN, 25 Okt – Generasi muda mahu supaya isu peluang pekerjaan dan kos sara hidup menjadi antara intipati utama kerajaan pada pembentangan Bajet 2019, yang dijadualkan bulan depan.

Kebanyakkan mereka berpendapat isu berkenaan saling berkait dan ekonomi diri boleh diperbaiki jika dua perkara berkenaan dapat ditingkatkan.

Lepasan Universiti Malaysia Sabah Nur Khairunnisa Omar Baki, 23, berkata beliau berharap lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan khususnya di luar bandar, bagi memberi lebih pilihan kepada belia.

Mengambil contoh dirinya yang akan bergraduasi pada November depan, Nur Khairunnisa berharap dapat bekerja di Kemaman, Terengganu supaya boleh melaksanakan tanggungjawab menjaga keluarga selaku anak sulung.

“Jika dapat bekerja di tempat asal, perbelanjaan seperti menyewa bilik boleh dijimatkan dan digunakan untuk tujuan lain seperti membantu persekolahan adik-adik kerana ayah seorang sahaja yang bekerja sebagai pemandu lori.

“… apatah lagi gaji permulaan pada masa kini juga tidak begitu tinggi. Saya berharap gaji minimum boleh dinaikkan kerana kami juga perlu membayar pinjaman pendidikan selepas bergraduasi,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pekerja swasta Amir Rozaini Ahmad Rani, 38, juga berharap lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan supaya anak muda tidak perlu berhijrah ke bandar besar yang sudah pasti lebih tinggi kos hidupnya.

Katanya kos sara hidup juga memerlukan perhatian khusus daripada kerajaan termasuk dalam pemberian subsidi minyak kerana perubahan harga bahan api itu memberikan kesan kepada harga barangan lain.

“Kerajaan juga diminta untuk memberi perhatian kepada sistem pengangkutan awam kerana sistem pengangkutan yang efektif dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakannya.

“Ini salah satu cara untuk berjimat selain dapat membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dan menjaga alam sekitar,” katanya.

Sebagai penduduk Kuantan, Amir Rozaini juga berharap kerajaan akan meneruskan rancangan pembinaan blok baharu wad wanita dan kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, ekoran kesesakan yang dialami sekarang.

Katanya, pengumuman itu telah dibuat oleh kerajaan terdahulu pada Bajet 2018 dan beliau berharap perkara tersebut diberi perhatian oleh kerajaan sekarang kerana ia adalah untuk kebaikan rakyat.

“Jika ke HTAA, boleh dilihat terlalu ramai pesakit sehingga ada yang perlu ditambah katil. Kesesakan juga menyebabkan berlaku masalah parkir sehingga ada yang meletak kenderaan di jalan besar,” katanya.

Anak jati Balok di sini, Shamim Junaidi, 30, berharap kerajaan memperhalusi isu perumahan bagi membolehkan golongan belia membeli rumah pada usia muda yang supaya boleh menikmati tempoh bayaran balik yang lebih panjang.

Beliau yang bekerja dengan syarikat telekomunikasi berharap kerajaan dapat memberi ‘berita gembira’ kepada rakyat menerusi Bajet 2019 seperti diskaun tol dan pilihan potongan lebih mampu dalam pinjaman pendidikan.

“Kalau tidak boleh berikan diskaun dalam jumlah yang banyak, jumlah yang sedikit juga boleh membantu rakyat yang mungkin kerap perlu menggunakan tol untuk ke tempat kerja setiap hari,” katanya. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.