PH Akui Mansuh Dasar Senarai Hitam Punca Bayaran Balik PTPTN Turun

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengakui tindakan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyebabkan jumlah bayaran balik pinjaman tersebut menurun.

Jumlah kutipan bayaran balik pembiayaan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diterima adalah sebanyak RM817.56 juta bagi tempoh Jun hingga September lalu berbanding RM1,324.43 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata jumlah tersebut diperoleh selepas proses mengeluarkan 429,945 orang peminjam PTPTN daripada senarai hitam yang dilakukan secara berperingkat mulai 24 Mei lepas dan selesai sepenuhnya pada 8 Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya tindakan memansuhkan senarai hitam bukanlah sebab utama kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) turut menjadi punca berlakunya pengurangan kutipan PTPTN daripada RM1,324.43 juta pada Jun hingga September tahun lalu kepada RM817.56 juta tempoh sama tahun ini.

Beliau berkata, tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 memanjangkan tempoh penangguhan bayar balik daripada enam bulan kepada 12 bulan antara punca berlakunya penurunan tersebut.

“Bagi memastikan bayaran balik yang berterusan diterima daripada peminjam, tindakan penyenaraian dan pengemaskinian rekod bayaran peminjam dalam rekod kredit Bank Negara iaitu Central Credit Reference Information System (CCRIS) masih dilaksanakan.

“Selain daripada itu, tindakan perundangan (saman) juga boleh diambil ke atas peminjam yang ingkar membuat bayaran,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu jumlah kutipan bayaran balik PTPTN yang diterima selepas tindakan senarai hitam dihapuskan dan usaha yang akan dilaksanakan bagi memastikan sasaran jumlah bayaran balik dapat dicapai.

Teo berkata kajian holistik mengenai dasar baharu pinjaman PTPTN telah selesai dilaksanakan pada 26 Sept lalu dan setakat ini masih menunggu ulasan daripada beberapa agensi kerajaan yang terlibat sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah berjanji untuk memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN dan menangguhkan pembayaran balik kepada semua peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.