Zahid Zahir Kekhuatiran Aktiviti LGBT, Ambil Iktibar Bencana Di Bandar Palu, Sulawesi

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kekhuatiran terhadap situasi aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang dibimbangi akan mengundang kemurkaan Allah swt sepertimana bencana yang menimpa bandar Palu di Sulawesi.

Ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soalan lisan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Dewan Rakyat pada Selasa, beliau berkata mengikut data yang dikeluarkan oleh International LGBT Intersex Association, melalui laporan state-sponsored homophonia pada April 2018 mendapati secara rasmi ada 74 negara telah menolak LGBT.

“Kita lihat situasi di Malaysia turut mengkhuatirkan, di mana kita tahu kejadian di Palu baru-baru ini apabila ada gempa bumi dan tsunami dikhabarkan bahawa terdapat lebih daripada seribu di kalangan mereka yang terlibat dalam aktiviti yang berkenaan, akibatnya seluruh kawasan itu diranapkan, ini adalah hukuman Allah.

“Soalan saya, di dalam usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melaksanakan program mukhayyam kita dapati sehingga pertengahan tahun lepas seramai 1,195 orang telah menyertai program ini. Apakah langkah-langkah yang akan dilakukan oleh kerajaan khususnya JAKIM kerana ianya bukan hanya melibatkan jabatan agama atau Majlis Agama Islam negeri-negeri tetapi ianya harus diselaraskan diperingkat pusat kerana ianya masalah yang agak besar.

“Dan saya juga ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan program mukhayyam supaya keberkesananya dapat mengelakkan hukuman Allah kepada rakyat Malaysia keseluruhannya termasuk mereka yang menolak LGBT?” katanya.

Terdahulu semasa sesi soalan lisan, Ahmad Zahid mengemukakan soalan mengenai pendirian Kerajaan terhadap isu LGBT dan Queer dan apakah usaha yang telah diambil oleh pihak Kerajaan untuk membendung gejala songsang dan tidak bermoral ini.

Menjawab soalan berkenaan, Mujahid berkata daripada 74 negara yang menolak amalan berkenaan salah satu negara adalah Malaysia yang jelas sikap yang diambil oleh dasar kerajaan terhadap isu ini.

“Cuma berbezanya ialah mungkin cara pendekatan kita kerana kita faham bahawa segala sesuatu yang berlaku di dalam negara mesti ditangani sebagai kerajaan yang mengamalkan konsep rahmatan lil – alamin, hendak menyelamatkan mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan apatah lagi jika ia bercanggah dengan syariat,” katanya.

Mengenai program yang diadakan katanya sejak daripada 2011, seramai 1450 peserta telah mengambil bahagian dan saya sebut tadi mereka mengambil bahagian atas sikap sukarela.

Ujarnya seramai 910 peserta merupakan maknyah, gay (10), lesbian (175)  dan lain-lain yang terdiri daripada pelbagai kelompok antaranya yang telah berubah penampilan kepada fitrah asal serta ada kelompok masih berpenampilan berbeza daripada jantina asal tapi dalam proses meninggalkan perlakuan yang dilarang agama,” katanya. – MediaUMNO