Selamat Tinggal Klinik 1Malaysia, Bakal Ditutup Secara Berperingkat

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Selamat tinggal Klinik 1Malaysia (K1M) yang memberi makna besar kepada penduduk berpendapatan rendah apabila akhirnya akan tinggal sejarah kerana ianya bakal ditutup secara berperingkat.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, daripada keseluruhan 347 K1M di seluruh negara, sebanyak 293 akan dijenamakan semula sebagai klinik komuniti manakala 20 lagi akan dinaik taraf kepada klinik kesihatan dan 34 yang lain bakal ditutup.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad di Dewan Rakyat.

K1M adalah sebuah projek klinik yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

K1M diwujudkan bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ dengan langkah permulaan 50 buah klink dibuka melibatkan peruntukan RM10 juta dalam Bajet 2010.

Kewujudan K1M dapt membantu golongan miskin bandar menjaga kesihatan apatah lagi ia ditempatkan di kawasan perumahan yang mana para penduduk tidak lagi perlu berkenderaan dengan perkhidmatan dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam termasuk cuti sekolah atau perayaan. – MediaUMNO