Bursa Malaysia Dibuka Rendah, Semakin Menyusut

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Harga saham di Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pagi ini dan terus menyusut selepas itu kerana sentimen belian menerima tekanan daripada perkembangan luaran yang tidak memberangsangkan.

Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.18 mata pada 1,719.29 daripada 1,722.47 pada penutup semalam.

Indeks dibuka 0.97 mata lebih rendah pada 1,721.5.

Dalam nota penyelidikannya, PublicInvest Research berkata, antara kebimbangan luaran yang memberi kesan kepada FBM KLCI adalah prestasi semalaman Wall Street yang lemah.

“Di Amerika Syarikat (AS), saham tenaga adalah antara yang mencatatkan prestasi yang teruk di S&P 500 memandangkan minyak mentah Brent berusaha untuk mencecah semula harga US$80 setong selepas Arab Saudi berkata ia berkemungkinan akan meningkatkan pengeluaran minyak mentah.

“Tambahan lagi, keuntungan korporat AS yang secara keseluruhan tidak begitu baik menambah kepada suasana yang berhati-hati,” tambah nota berkenaan.

Bagi pasaran secara keseluruhan, rugi mengatasi untung 127 kepada 78 dengan 143 tidak berubah, 1,556 kaunter tidak didagangkan dan 29 lagi digantung.

Jumlah dagangan adalah 94.1 juta unit bernilai RM53.38 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank susut tujuh sen kepada RM9.53, Tenaga susut lapan sen kepada RM14.42, manakala Public Bank dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing pada RM24.98 dan RM9.38.

Kaunter aktif, Pesona Metro susut setengah sen kepada 27 sen, Prestariang meningkat 3.5 sen kepada 47.5 sen dan MYEG susut satu sen pada RM1.37.

Indeks FBM Emas Shariah susut 11.71 mata kepada 11,851.72, Indeks FBM Ace susut 0.21 mata kepada 5,071.39 dan FBM 70 susut 12.74 mata pada 13,679.68.

Indeks FBM Emas susut 19.77 mata kepada 11,884.37 manakala Indeks FBMT 100 susut 19.21 mata kepada 11,713.95.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 6.61 mata kepada 7,410, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.04 mata pada 171.84 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 54.63 mata kepada 17,441.9. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.