Puteri UMNO Bahagian Sabah Digesa Jalankan Pemutihan
KOTA KINABALU, 20 Okt – Puteri UMNO Sabah mahu sayap itu di peringkat bahagian menjalankan ‘pemutihan’ anggota bagi memastikan hanya mereka yang mampu meneruskan perjuangan kekal dalam parti.
Naib Ketuanya Hazulizah Md Dani berkata langkah itu penting kerana Puteri UMNO sedang menyusun semula gerak kerja yang pastinya sukar dilakukan sekiranya masih ada ‘duri dalam daging’ serta ‘api dalam sekam’, dalam sayap.
“Selepas tewas dan berstatus pembangkang di Sabah dan di peringkat persekutuan, kita mahu mereka yang tinggal benar-benar ikhlas dan komited dengan perjuangan UMNO. Oleh itu, kita mahu melihat senarai keanggotaan baharu mereka yang masih setia dengan parti,” katanya dalam kenyaaan hari ini.
Pada masa sama beliau mahu anggota Puteri UMNO terus menggiatkan usaha mendekati golongan muda kerana keputusan pilihan raya umum lalu menyaksikan ramai anggota sedia ada beralih arah dan meninggalkan parti.
“Tarik mereka masuk semula dalam UMNO dengan cara terbaik dan bukannya dengan memaki atau ‘troll’ mereka,” katanya.