UMNO Selangor, P. Pinang Berdiri Teguh Pertahan Presiden


KUALA LUMPUR, 18 Okt – UMNO Selangor menyatakan sokongan penuh dan akan terus berdiri teguh bersama Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menghadapi tekanan dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga memanjatkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan kesabaran dan ketabahan kepada Datuk Seri Presiden dalam melalui saat-saat yang menggetirkan ini.

“Sehubungan itu, saya menyeru seluruh rakyat, penyokong dan ahli UMNO khususnya ahli UMNO Selangor untuk berdiri teguh dan mendoakan serta mengadakan solat hajat memohon pertolongan Allah SWT sama ada secara berjemaah atau persendirian.

“Semoga Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diadili dengan seadil-adilnya oleh mahkamah tanpa tekanan dan campur tangan politik. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memanggil buat kali keenam bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhubung kes dana yayasan, dan dijangka akan didakwa di mahkamah esok.

Manakala di BUKIT MERTAJAM, UMNO Pulau Pinang juga berpendirian yang sama menyokong penuh Ahmad Zahid dan menyeru semua ahli, pendokong dan rakyat menunaikan solat hajat agar dipermudahkan semua urusan.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang merasa bertanggungjawab untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada Presiden UMNO di dalam kemelut yang amat mencabar ini.

“Kami sentiasa berdiri teguh bersama di samping berdoa kepada Allah SWT agar mengurniakan kesabaran dan ketabahan buat Datuk Seri Presiden di saat ini,” ujar pengerusinya, Datuk Haji Musa Sheikh Fadzir dalam satu kenyataan. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.