UMNO Pahang Zahir Sokongan Kepada Presiden, Tetap Teguh dan Setia Pada Parti

KUANTAN, 18 Okt – Seluruh Ahli UMNO Negeri Pahang menyatakan sokongan penuh kepada Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikehendaki melaporkan diri ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, bagi urusan pendakwaan di mahkamah, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNOnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Sukacita saya mengulangi kesetiaan kami serta pendirian jitu kami untuk terus berdiri teguh bersama-sama YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, dalam menempuhi keadaan yang mencabar ketika ini.

“Kami juga berdoa kepada Allah S.W.T moga-moga YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi dalam melalui saat-saat yang menggetirkan ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan semua ahli-ahli dan para penyokong UMNO, supaya dapat terus berdoa dan menganjurkan solat hajat, memohon pertolongan Allah S.W.T demi memudahkan urusan kepemimpinan tertinggi parti.

Ahmad Zahid Hamidi diminta hadir hari ini di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya untuk diambil keterangan – buat kali keenam – berhubung siasatan kes seleweng dana sebuah yayasan.

Menurut sumber SPRM, Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, diminta hadir di bangunan SPRM itu pada 3 petang.

Ahmad Zahid diminta ke ibu pejabat SPRM tiga kali berturut-turut minggu lepas selepas berbuat demikian sebanyak dua kali pada Julai lepas. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.