Bangkitlah Puteri! Bangkitlah Pejuang UMNO Sejati! Bersama-sama Kita Bersolidariti! – Zahida


KUALA LUMPUR, 18 Okt – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan menyeru seluruh ahli khususnya sayap parti berkenaan agar bersama-sama menunjukkan solidariti dan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada institusi kepresidenan parti.

Seruan Zahida tersebut rentetan daripada tidakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan memanggil Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi buat kali keenam hari ini dan berkemungkinan besar akan didakwa di Mahkamah pada esok, Jumaat.

“Ini adalah tindakan terdesak kerajaan PH untuk mengalih pandangan dan kemarahan rakyat terhadap siri penipuan janji-janji manifesto yang gagal ditunaikan.

“Tidak cukup dengan menzalimi rakyat, kerajaan hari ini menyalahgunakan AMLA (Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan) untuk beri tekanan kepada seorang demi seorang musuh politik mereka termasuk Presiden UMNO yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

“Adakah prinsip ‘Rule of Law’ yang dilaung benar-benar diamalkan untuk memberi keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia? Atau akan berterusan dengan pendakwaan terpilih dan politik dendam?,” soalnya dengan tegas, dalam satu kenyataan media, di sini pagi tadi.

Justeru jelas Zahida lagi, Puteri UMNO tetap terus berdiri teguh di belakang Presiden dan akan tetap bersama-sama beliau walau berhadapan situasi sukar ditekan sang pemerintah zalim.

“Justeru itu, saya menyeru kepada semua ahli Pergerakan Puteri UMNO untuk turun beramai-ramai bersama saya ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada esok, Jumaat (19 Okt 2018) jam 7.30 pagi, dengan berpakaian warna merah.

“BANGKIT Puteri! BANGKIT Para pejuang UMNO! Kita berSOLIDARITI, tunjukkan sokongan yang padu kepada Presiden Parti,” katanya dengan penuh semangat.

Beliau juga bersama-sama seluruh ahli Puteri UMNO sentiasa mendoakan agar Datuk Seri Presiden terus tabah menghadapi dugaan serta cabaran dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air ini. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.