UMNO Perak, Kedah Zahir Sokongan Tidak Berbelah Bahagi Kepada Datuk Seri Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, UMNO Negeri itu menzahirkan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden parti sama ada dalam keadaan senang ataupun susah.

Jelas beliau, UMNO Perak akan meneruskan majlis bacaan yasin dan solat hajat memohon segala dugaan Zahid dipermudahkan.

“Kami mendoakan semoga Datuk Seri Zahid akan menghadapi semua dugaan dengan tabah dan kami yakin beliau berada di pihak yang benar. Ahli-ahli UMNO Perak akan sentiasa berdoa beliau diberikan kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran dan dugaan ini.

“Semoga Allah memberikan hidayahnya kepada orang-orang terlibat mengendalikan siasatan dan pendakwaan ke atas beliau, sehingga beliau akan dibebaskan. In Shaa Allah,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga menyatakan sokongan UMNO Kedah yang tidak berbelah bahagi kepada President Umno di dalam kemelut yang amat mencabar ini.

“Kami sentiasa berdiri teguh bersama disamping berdoa kepada Allah S.W.T agar mengurniakan kesabaran dan ketabahan YB DS Presiden disaat saat ini.

“Saya juga menyeru kepada semua rakyat, penyokong dan ahli ahli UMNO agar mengadakan solat hajat memohon pertolongan dari Allah S.W.T. samaada secara berjamaah atau persendirian”, ujarnya.

Ahmad Zahid Hamidi diminta hadir esok di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya untuk diambil keterangan – buat kali keenam – berhubung siasatan kes seleweng dana sebuah yayasan.

Menurut sumber SPRM, Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, diminta hadir di bangunan SPRM itu pada 3 petang.

Ahmad Zahid diminta ke ibu pejabat SPRM tiga kali berturut-turut minggu lepas selepas berbuat demikian sebanyak dua kali pada Julai lepas.

SPRM kini menjalankan siasatan terhadap dana Yayasan Akal Budi milik keluarga Ahmad Zahid, yang juga pengerusi yayasan itu, yang ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti amal. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.