SPRM Panggil Zahid Hamidi Beri Keterangan Buat Kali Keenam Esok
KUALA LUMPUR, 17 Okt – Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta hadir esok di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya untuk diambil keterangan – buat kali keenam – berhubung siasatan kes seleweng dana sebuah yayasan.
Menurut sumber SPRM, Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, diminta hadir di bangunan SPRM itu pada 3 petang.
Ditanya mengenai spekulasi berhubung kemungkinan anggota Parlimen Bagan Datuk itu akan ditahan dan didakwa pada Jumaat ini, sumber itu enggan memberikan sebarang ulasan.
Ahmad Zahid diminta ke ibu pejabat SPRM tiga kali berturut-turut minggu lepas selepas berbuat demikian sebanyak dua kali pada Julai lepas.
SPRM kini menjalankan siasatan terhadap dana Yayasan Akal Budi milik keluarga Ahmad Zahid, yang juga pengerusi yayasan itu, yang ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti amal.