UMNO Kini Perlu Tumpu Perhatian Kepada Penyusunan Parti Menuju PRU-15

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO kini perlu menumpukan perhatian kepada penyusunan parti serta mengatur Barisan Nasional (BN) baru serta membina harapan baru dalam menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Jelas beliau sebagai pembangkang, mengekalkan jumlah kerusi yang dimenangi di kala ini bukanlah satu perkara utama.

“Hanya BN yang tidak mengikat Wakil Rakyatnya dengan apa sahaja jenis ikatan atau halangan ‘lompat parti’. Justeru di saat ada parti yang sangat memerlukan kerusi untuk mengekalkan kuasa, maka sudah tentu mereka akan berusaha mendapatkan kerusi tambahan.

“Bagi UMNO pula, kita akan kekal sebagai pembangkang hingga PRU-15..sebagai pembangkang, jumlah kerusi adalah perkara kedua buat masa ini kerana adalah lebih elok UMNO menumpukan pada penyusunan parti dan melahirkan tokoh baru bagi kerusi yang ‘dilarikan’… ini juga membuka ruang kepada tokoh baru,” ujar beliau dalam status yang dimuatnaik di laman sosial facebook.

Tambah Annuar, rakyat juga kini sebenarnya sudah semakin putus ‘HARAPAN’ justeru ‘HARAPAN BARU’ di saat ini amatlah didambakan, maka UMNO perlu menjadi dan membina harapan baru itu untuk rakyat.

BN yang memenangi 52 kerusi pada PRU-14 lalu kini jumlahnya semakin menyusut apabila seorang demi seorang mula lompat parti. Antara yang telah keluar parti adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.

Terbaru Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mengesahkan bahawa beliau telah meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).– MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.