Tertipu Janji Populis PH, Rakyat Perlu Bangkit Dan Sama-Sama Perbaiki Diri


KUALA LUMPUR, 10 Okt – Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berharap mereka yang merasakan tertipu dengan janji populis Pakatan Harapan (PH) agar sama-sama bangkit untuk memperbaiki diri masing-masing.

Menurut beliau hari ini mereka yang sombong mengecam Barisan Nasional (BN) di media sosial telah kelu lidah mereka kerana kejayaan BN memerintah negara bukan seperti yang pipih datang melayang dan yang bulat datang bergolek.

“Segalanya dengan perancangan yang teliti hasil buah fikiran kabinet yang komprehensif. Kepada yang telah tertipu dengan janji populis pihak PH bangkitlah memperbaiki diri sendiri. Fikirkan apa yang kita hilang dan bukannya apa yang belum tentu dipenuhi oleh kerajaan hari ini.

“Kisah Skim Berhenti Kerja Sukarela (VSS) dan pembatalan projek mega hingga berpuluh ribu kehilangan kerja bukan perkara kecil yang boleh dilupakan begitu sahaja.

“Situasi sebegini tidak berlaku semasa BN mentadbir negara ini. Ekonomi sedang rancak semasa Datuk Seri Najib Razak mengemudi negara dengan pembaharuan dasar seperti Strategi Lautan Biru (NBOS) dan penyaluran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selain bantuan untuk golongan petani dan nelayan.

“Malah keadaan ekonomi negara yang merudum saat ini amat mendukacitakan rakyat. Kejatuhan nilai ringgit di atas paras RM4 berbanding USD seakan tiada noktahnya. Pulangan nikmat yang dinanti-nantikan rupanya cukai baharu yang menanti,” katanya menerusi catatan di laman Facebook.

Katanya lagi benarlah kata pujangga barat, Rom bukan dibina dalam masa sehari dan begitu juga negara Malaysia yang dicintai ini.

“Semenjak kita merdeka pada tahun 1957 sehingga sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 lalu negara kita mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih 5 peratus dan kini segalanya telah berubah.

“Kini kita semua sedar termasuk penyokong Pakatan Harapan yang kehilangan kerja dan kontrak bahawa Najib telah melakukan segalanya untuk kita semua, tetapi kita sahaja yang buta dan tuli hanya menilai persepsi dari mata pihak pembangkang semasa itu,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.