Manifesto PH Wujudkan Sejuta Pekerjaaan Bertukar Jadi Sejuta Pekerja Diberhentikan
KUALA LUMPUR, 10 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak seharusnya berpendirian dangkal dalam isu MMC Gamuda kerana syarikat itu dilantik oleh Kerajaan BN terdahulu maka dengan itu kontrak mereka perlu dibatalkan.
Kata Ismail, kerajaan perlu diingatkan bahawa MMC GAMUDA telah dilantik melalui tender terbuka antarabangsa yang terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat dari negara China, Korea dan Jepun.
“Untuk makluman , pemegang-pemegang saham dalam Syarikat MMC GAMUDA terdiri dari Lembaga Tabung Haji (TH), Amanahraya Trustees Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad(PNB) dan lain-lain yang semuanya merupakan institusi-Institusi yang akan memberikan pulangan keuntungan kepada rakyat melalui peratus keuntungan daripada Projek MRT 2 ini.
“Saya difahamkan Projek MRT 2 ini telah siap 40% pembinaannya. Oleh itu keputusan kerajaan memberhentikan projek ini juga mengundang tindakan saman untuk ganti rugi serta pampasan lain akibat penamatan kontrak tersebut”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Malah tegasnya tindakan mahkamah mungkin akan mengganggu proses perlantikan syarikat baru untuk menyambung projek tersebut.
“Jika ini berlaku maka kerajaan akan lebih menanggung kerugian. Kelewatan pelantikan syarikat baru tentu akan melewatkan 20,000 pekerja yang hilang pekerjaan untuk mendapatkan semula pekerjaan mereka.
“Yang pasti 20,000 pekerja ini akan terus menderita dengan tindakan Kerajaan PH yang tidak mengambil kira hak dan kebajikan rakyat,” ujarnya.
Katanya lagi, alasan kerajaan akan melakukan “Re-Tender” dan mereka mungkin akan diambil semula oleh syarikat baru adalah satu alasan yang tidak dapat diterima.
“Kita tidak tahu bilakah proses tender semula itu akan selesai dengan pelantikan syarikat baru tersebut. Dalam jangkamasa itu apakah 20,000 pekerja ini akan mempunyai pendapatan? Apakah kerajaan akan membayar pampasan?
“Jika berlaku pengambil-alihan oleh syarikat baru sekali pun apakah jaminan kerajaan bahawa syarikat baru itu akan menyerap semula keseluruhan lebih 20,000 pekerja yang hilang pekerjaan ini?, soalnya.
Jelas beliau perlu diingatkan bahawa 60% daripada 20,000 pekerja tersebut terdiri dari pekerja Bumiputera.
Malah antaranya terdiri daripada golongan professional rakyat Malaysia.
“Lebih malang lagi terdapat 600 syarikat yang menjadi pembekal, sub-kontraktor dan lain-lain yang terlibat dengan projek tersebut bakal berdepan situasi sama dengan memberhentikan pekerja-pekerja mereka dan syarikat mungkin akan gulung tikar,” tegasnya.
Isu MMC Gamuda ini menurut beliau bukan kali pertama berlaku sepanjang tempoh kerajaan baru mengambil alih pentadbiran negara, yang mana sebelum ini puluhan ribu rakyat juga telah kehilangan pekerjaan akibat keputusan kerajaan membatalkan Projek ECRL, Kuala Lumpur – Singapore Highspeed Rail.
“Minggu lepas saya telah memberi komen berkaitan kesan langsung kepada rakyat dan usahawan Bumiputera jika 4,000 projek-projek kecil untuk rakyat dibatalkan.
“Dan hari ini, kita dikejutkan lagi dengan pengumuman kerajaan menghentikan Projek MRT 2 yang melibatkan 20 ribu pekerja di bawah MMC GAMUDA”, ujarnya.
Nampaknya kata beliau manifesto Kerajaan PH untuk mewujudkan sejuta pekerjaan sebenarnya telah bertukar menjadi pemberhentian sejuta pekerja.
“Dalam keadaan sukar masa kini, kehilangan pekerjaan dalam situasi kos sara hidup meningkat dan tidak lama lagi para ibu bapa akan menghadapi musim persekolahan baru untuk tahun 2019 dan sudah tentu sahaja ia bakal menambahkan penderitaan rakyat,” ujarnya.-MediaUMNO