Kekalahan Menjadi UMNO Lebih Terbuka, Berdaya Saing Untuk Berdepan Cabaran – Dr Rizal


KUALA LUMPUR, 9 Okt – Kekalahan UMNO dalam PRU ke 14 baru-baru ini memberikan satu inspirasi baru kepada ahli-ahli UMNO untuk menjadi lebih terbuka, lebih berdaya saing dan bijak untuk menggunakan segala kemudahan yang ada untuk memperjelaskan kepada rakyat tentang isu-isu semasa yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan baru hari ini, demikian menurut seorang pensyarah UKM, Dr Ahmad Rizal Yusof.

Menurut beliau, setelah selesainya perhimpunan Agung UMNO ke 2018 baru-baru ini, adalah menjadi tugas setiap ahli UMNO untuk menggunakan segala kemudahan komunikasi terutamanya sosial media untuk memberitahu tentang implikasi dasar-dasar kerajaan baru yang memberikan kesan buruk kepada rakyat di negara ini.

“Sudah tibalah masanya bagi ahli-ahli UMNO untuk menggalas satu tanggungjawab yang besar untuk memperjelaskan senario dan keadaan politik hari ini yang jelas telah memberikan satu impak yang tidak begitu baik terhadap rakyat dan ekonomi negara.

“Dan saya kira, kekalahan ini juga merupakan satu titik kebangkitan baru UMNO di mana sebelum ini kita semua sedia maklum ada beberapa situasi yang kurang menyenangkan yang berlaku di dalam parti dan sebagainya. Ini merupakan satu cabaran besar buat semua ahli-ahli UMNO yang perlu ditangani dengan bijak dan sabar.

“Iyalah, siapa yang mahukan kekalahan. Tetapi di mana ada kemenangan, di situ juga ada kekalahan. Namun, kekalahan yang dialami oleh UMNO ini bagi saya telah membangkitkan satu inspirasi baru kepada ahli-ahli UMNO untuk menjadi lebih terbuka, bertenaga, berdaya  saing dan lebih bijak untuk menghadapi cabaran baru ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program diskusi U3.0 yang membawa tajuk ‘Masihlah UMNO Menjadi Pilihan?’ yang diadakan secara lintas langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online semalam.

Apa yang perlu diberikan tumpuan oleh ahli UMNO menurut Ahmad Rizal ialah bagaimana untuk menarik semula sokongan rakyat, khususnya orang Melayu kepada UMNO setelah kerajaan baru ini ternyata gagal untuk menunaikan segala janji dan manifesto mereka, serta dasar kerajaan yang memberikan kesan negatif terhadap ekonomi negara.

“Tugas utama ahli-ahli UMNO hari ini adalah untuk menyedarkan rakyat berhubung isu politik semasa tanahair pasca PRU ke 14 terutama melalui sosial media.

“Kalau sebelum ini, musuh-musuh UMNO menggunakan sosial media untuk melemparkan pelbagai tohmahan kepada parti, maka hari ini ahli-ahli UMNO juga mesti menggunakan platfom tersebut untuk menjelaskan dan memberikan kesedaran kepada rakyat”, ujarnya.

Justeru tambah beliau inilah tugas utama yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli UMNO di mana setiap ahli parti perlu memberikan kesedaran, apakah hari ini janji-janji kepada rakyat dapat dilaksanakan?

“Apakah rakyat hari ini dapat merasai nikmat yang lebih baik berbanding sebelum ini?

“Kesedaran ini sebenarnya dapat memberikan manfaat yang besar kepada orang-orang Melayu untuk melihat politik daripada kerangka yang lebih besar dan sekiranya kita tersilap pangkah di dalam pilihanraya, inilah akibatnya.

“Ini kerana kekal relevannya UMNO di negara ini adalah di atas sokongan orang Melayu. Bagaimanapun, saya tidak nampak halangan yang besar untuk mengembalikan sokongan orang Melayu kepada UMNO dalam situasi politik hari ini”, katanya.

Apa yang penting jelas beliau lagi ialah ahli-ahli UMNO perlu melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memberikan kesedaran kepada rakyat baik di luar bandar mahu di kawasan bandar.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.