Dasar Kesihatan Kerajaan PH Masih Dinanti, Ura-ura Perlu Kad Insurans Menggusarkan


SHAH ALAM, 9 Okt – Sehingga hari ini, rakyat masih masih ternanti-nanti dasar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pasti berhubung kesihatan selain kad ‘Peduli Sihat’ yang terhad hanya kepada golongan tertentu di negeri Selangor, kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Ujarnya, ura-ura yang mengatakan Kerajaan PH akan mewujudkan insurans untuk dikenakan kepada rakyat bagi rawatan penyakit juga amat menggusarkan.

“Harap kebajikan untuk rakyat tidak diperkotak-katikkan lagi. Kita berharap soal kesihatan tidak dipinggirkan daripada Bajet 2019 malah ia perlu diberi keutamaan.

“Jika boleh program Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) diteruskan. Rakyat bukan sahaja perlukan kehidupan yang berkualiti tetapi kesihatan sebagai aset dan modal tetap untuk tujuan tersebut,” katanya hari ini.

Jelasnya, semasa Kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara, awal Oktober setiap tahun akan diraikan di seluruh negara sebagai Hari Sukan Negara.

“Sesungguhnya kesihatan adalah aset paling berharga bagi seorang individu tidak kira tua atau pun muda, maka sukan adalah pemangkin ke arah hidup yang lebih berkualiti.

“Walaupun kita hanya mampu bernostalgia tanpa kuasa namun segala dasar BN yang baik wajar diteruskan.

“Sebagai Kerajaan Persekutuan yang bertanggjawab BN sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat terutama kesihatan yang sempurna.”

Katanya, setiap tahun sebelum PRU 14, UMNO di Bahagian Shah Alam tidak pernah gagal mengadakan program seperti sukaneka, ‘fun run’ dan kejohanan futsal.

“Sepanjang menjadi Pengerusi Pelawat Hospital Shah Alam penyakit tidak berjangkit seperti penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi banyak dihidapi rakyat negara ini.

“Jika ada pun rakyat yang menghidap sakit kronik kita sentiasa bersedia menyalurkan bantuan kewangan dan membantu menghubungkan pihak terlibat dengan agensi Kerajaan Persekutuan.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.