11 Sukarelawan Jayakan Misi Bantuan Perubatan Dan Kemanusiaan Pemuda UMNO Ke Kota Palu
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Seramai 11 sukarelawan Pemuda UMNO yang terdiri daripada enam doktor dan selebihnya ahli farmasi serta ahli fisioterapi akan berada di Sulawesi bagi menggerakkan Misi Bantuan Perubatan dan Kemanusiaan ke Kota Palu bermula esok hingga 16 Oktober ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata misi berkenaan digerakkan menerusi Sekretariat Profesional pergerakan itu yang diketuai Dr Muhammad Akmal Salleh.
Menurut beliau Misi Bantuan Perubatan dan Kemanusiaan Pemuda UMNO akan tertumpu kepada membawa bekalan ubat-ubatan selain memberikan rawatan terhadap mangsa tercedera bersama dengan pasukan NGO perubatan Indonesia.
“Selain itu misi ini juga akan melaksanakan ‘search and rescue’ untuk mencari mayat dan mangsa-mangsa yang masih tertimbus serta membantu pengurusan jenazah yang belum sempurna,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dr Asyraf seterusnya menambah pihaknya dimaklumkan buat masa ini hanya badan terpilih sahaja yang dibenarkan masuk ke kawasan gempa atas faktor keselamatan dan larangan pihak berkuasa.
“Justeru pihak kami berbesar hati hasil kerjasama dengan NGO kemanusiaan terbesar di Indonesia iaitu Aksi, Cepat, Tanggap (ATC) kita telah memperoleh kebenaran khas untuk masuk ke kawasan gempa bumi tersebut dan melaksanakan misi ini.
“Sehubungan itu, Pemuda UMNO memohon dan membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan terhadap misi rawatan dan bekalan ubat-ubatan kepada mangsa bolehlah menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank CIMB – Pemuda UMNO Malaysia : 8000632311,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Profesional Muda Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata sumbangan daripada mana-mana pihak termasuklah kalangan ahli parti amatlah dialu-alukan dalam usaha menjayakan misi kemanusiaan tersebut.
“Misi ini kita gerakkan bersama profesional muda daripada kluster doktor dan mereka yang berada di dalam bidang perubatan untuk melaksanakan bagi menghulurkan bantuan sewajarnya.
“Biarpun jumlah sumbangan yang kita hulurkan dalam bentuk skala kecil, namun sekurang-kurangnya misi ini memperlihatkan kita sedia membantu di saat masyarakat di sana yang memerlukan,” katanya. – MediaUMNO