Petisyen Pilihan Raya: Vidyananthan Daripada BN Kekal Adun Kahang

KUALA LUMPUR, 5 Sept – R. Vidyananthan daripada MIC kekal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, Johor selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak petisyen pilihan raya dikemukakan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia Noorlihan Ariffin, yang mencabar keputusan pilihan raya dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) berkenaan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang membuat keputusan itu turut membenarkan permohonan Vidyananthan, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya DUN Kahang Nasri Md Ali dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden untuk membatalkan petisyen pilihan raya difailkan Noorlihan selaku pempetisyen.

Mohd Nazlan di dalam penghakimannya berkata kesemua responden berjaya membuktikan fakta-fakta yang mencukupi untuk membatalkan petisyen pilihan raya berkenaan.

“Dengan ini, mahkamah menolak petisyen pilihan raya dikemukakan pempetisyen dan mengisytiharkan responden pertama (Vidyananthan) adalah ADUN yang dipilih untuk Kahang,” kata hakim itu.

Mahkamah turut memerintahkan pempetisyen membayar kos RM10,000 untuk setiap responden.

Pada 13 Jun lepas, Noorlihan memfailkan petisyen pilihan raya bagi memohon perisytiharan bahawa responden pertama (Vidyananthan) tidak dipilih dengan sewajarnya sebagai ADUN Kahang dan keputusan pilihan raya bagi kawasan itu sebagai tidak sah.

Dalam petisyen itu, Noorlihan mendakwa SPR gagal mengisytiharkan pengundian di tempat mengundi bagi DUN Kahang adalah tidak sah selepas Nasri dan SPR telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(d) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mana dengan sengaja menghalang mana-mana orang daripada mengundi di tempat pengundian.

Pempetisyen mendakwa ini adalah kerana kegagalan pegawai pengurus itu atau wakilnya untuk membenarkan seorang pengundi berdaftar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 bertarikh 9 Mei lepas.

Sementara itu, Vidyananthan ketika ditemui pemberita di luar mahkamah menzahirkan rasa gembira kerana keputusan hari ini memihak kepada BN.

“Ini adalah satu kejayaan bukan sahaja untuk saya dan BN tetapi untuk rakyat DUN Kahang itu sendiri kerana pada PRU14, BN di kawasan berkenaan mendapat mandat dengan keputusan majoriti yang tinggi sebanyak 2,861 undi.

“Keputusan hari ini juga membuktikan bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat adalah mandat yang sebenarnya diberikan kepada kita kerana keikhlasan kita menjaga kawasan itu dengan baik selama ini,” katanya yang turut berterima kasih kepada peguam yang mewakilinya.

Pada PRU14, Vidyananthan memenangi kerusi DUN Kahang dengan memperoleh undian sebanyak 10,786 manakala Noorlihan memperoleh 7,907 undi.

Dalam prosiding hari ini, Noorlihan diwakili lima peguam termasuk Shahir Ab Razak, Azizi Iskandar dan Raihanah Ashriqin Ariffin manakala Vidyananthan diwakili peguam Datuk Syed Faisal Syed Abdullah manakala pegawai pengurus DUN Kahang dan SPR diwakili peguam Zulhelmi Wakiman@Wagiman.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.