Sultan Muhammad V Berkenan Hadir Acara Dan Majlis Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda

PUTRAJAYA, 4 Sept – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat mencemar duli untuk menghadiri acara dan majlis rasmi sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V pada 9 Sept ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata sebagaimana perkenan baginda, Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan bagi Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan tidak diadakan pada sambutan kali ini.

Oleh itu, katanya Sultan Muhammad V berkenan untuk berangkat mencemar duli hadir ke Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang akan diadakan pada 6 Sept bertempat di Masjlid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Baginda juga akan berangkat ke Masjid Wilayah pada keesokan harinya bagi menunaikan Solat Jumaat dan mendengar khutbah khas,” katanya.

Ismail berkata Sultan Muhammad V akan berangkat mencemar duli hadir ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 12 Sept di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, Putrajaya dan pada 13 Sept, baginda akan hadir ke Forum Perdana Diraja yang diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Katanya berikutan tarikh Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda pada 9 Sept ini jatuh pada Ahad, maka cuti gantian diberikan pada Isnin (10 Sept) bagi negeri-negeri yang cuti mingguannya jatuh pada Ahad.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.