PRK Balakong: Pusat Pengundian Awal Ditutup Pukul 12 Tengah Hari

SERI KEMBANGAN, 4 Sept – Pusat pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong ditutup secara rasmi pukul 12 tengah hari ini selepas semua pengundi awal selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Pusat pengundian di kuarters Balai Polis Seri Kembangan berkenaan dibuka tepat pukul 8,00 pagi menyaksikan seramai 28 daripada 31 anggota polis berdaftar pergi mengundi.

Sebaik proses pengundian ditutup, peti undi pusat pengundian berkenaan dimeterai petugas pilihan raya dan dihantar untuk disimpan dalam lokap Balai Polis Bandar Baharu Bangi sehingga hari penjumlahan undi pada Sabtu ini.

Turut meninjau pusat pengundian berkenaan sebaik ia dibuka ialah Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Tan Sri Othman Mahmood.

Selain itu, kedua-dua calon bertanding iaitu calon MCA Tan Chee Teong dan Pakatan Harapan Wong Siew Ki turut hadir melihat perjalanan mengundi awal di pusat pengundian.

PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas menyaksikan persaingan dua penjuru antara calon Tan dan Wong.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.