Hak Asasi LGBT… Bagaimana Pula Dengan Hukum Agama? – Wanita UMNO


KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Wanita UMNO menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil tindakan yang pantas dan tegas bagi menghalang kempen menghalalkan gaya hidup Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) dalam negara ini kerana Islam merupakan agama rasmi Malaysia dan LGBT adalah haram di sisi Islam.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata demikian merujuk kenyataan aktivis Marina Tun Mahathir beberapa hari lepas berkenaan hak kesamarataan yang kononnya dinafikan terhadap golongan LGBT di negara ini dan apa yang mereka minta bukanlah hak tambahan.

“Tanpa sebab atau provokasi, mana-mana individu di Malaysia tidak pernah dinafikan hak asasi mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Isu diskriminasi terhadap golongan LGBT untuk mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan, perlindungan keselamatan dan sebagainya berlaku apabila tuntutan agama masyarakat terutamanya umat Islam di negara ini diambil ringan seolah-olah ingin menghalalkan gaya hidup LGBT.

“Sebagai sebuah negara Islam yang bukan sahaja dari sudut kehidupan malah perlembagaan, kita mesti menerima bahawa hubungan sesama jantina itu adalah haram di sisi Islam.

“Maka, untuk menghalalkan golongan LGBT mengamalkan gaya hidup hubungan sesama jantina secara terbuka merupakan satu hak yang berlebihan untuk diminta dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegasnya, Wanita UMNO menentang penghinaan dan diskriminasi terhadap golongan LGBT yang berusaha mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kekeliruan perasaan mereka baik dari sudut spiritual mahupun perubatan.

“Tetapi sebagai wanita dan ibu, Wanita UMNO tidak akan membenarkan golongan LGBT dihalalkan perlakuan songsang mereka di kalangan masyarakat kerana ini bukan jalan penyelesaian kepada isu LGBT.

“Benar kata Marina Tun Mahathir, hari ini mereka bukan minta kahwin sejenis tetapi apa akan jadi pada masa akan datang? Perkahwinan sejenis di negara-negara lain bermula dari perjuangan menuntut kononnya hak asasi samarata untuk golongan LGBT.

“Saya percaya, kempen yang bermula dari menuntut hak samarata golongan LGBT yang bertentangan dengan agama ini akan menjadi punca kepada kerosakan institusi sosial yang lebih besar terhadap masyarakat di Malaysia,” katanya lagi.

Sebelum ini, Marina menuntut golongan LGBT di negara ini diberikan hak sama dinikmati oleh rakyat di negara ini kerana didakwa LGBT berhadapan dengan diskriminasi dalam kehidupan seharian mereka berdasarkan kepada anggapan dan stigma daripada anggota masyarakat. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.