Penurunan Kuasa Berkaitan Tanah Di Pahang Dikuatkuasa

KUANTAN, 2 Ogos – Kerajaan negeri melaksanakan penurunan kuasa pihak berkuasa negeri kepada pentadbir tanah dan pendaftar bagi kelulusan kebenaran pindah milik, gadaian serta pajakan tanah, berkuat kuasa semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pelaksanaan itu membolehkan kelulusan diperoleh dalam tempoh satu ke dua hari atau 10 hari, bergantung kepada kategori pindahan, berbanding tiga bulan sebelum ini.

“Penurunan kuasa ini akan menyelesaikan banyak kes pindahan tertunggak kerana kita memudahcarakan dan mengurangkan birokrasi dalam permohonan, asalkan permohonan dibuat secara lengkap.

“Sebagai contoh, permohonan kebenaran pindah milik dan gadaian bagi maksud kasih sayang iaitu antara suami isteri, waris qadim seperti anak, adik beradik dan cucu serta waris bukan qadim iaitu saudara terdekat kini boleh dilakukan pentadbir tanah dengan kelulusan antara satu ke dua hari.

“…bermakna permohonan dikemukakan di pejabat tanah dan dipertimbangkan oleh pentadbir tanah, berbeza sebelum ini iaitu pejabat tanah perlu mengemukakan permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum dihantar ke pejabat Menteri Besar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata ia juga melibatkan permohonan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan tanah, sama ada individu atau syarikat dalam kategori Melayu kepada Melayu, bukan Melayu kepada bukan Melayu dan bukan Melayu kepada Melayu.

Katanya keputusan bagi permohonan lengkap kategori itu boleh diperoleh dalam tempoh 10 hari, sama seperti permohonan rayuan pindah milik, gadaian dan pajakan tanah selain daripada Melayu kepada bukan Melayu.

“Permohonan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan tanah daripada individu atau syarikat dalam kategori Melayu kepada bukan Melayu sama ada permohonan baharu atau rayuan masih perlu melalui pejabat Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata perubahan itu yang memberi kuasa lebih luas kepada pentadbir tanah melibatkan garis panduan tertentu bagi mengelakkan berlaku perkara seperti salah guna kuasa.

“Keputusan ini dibuat selepas perbincangan teliti termasuk pada peringkat Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum mula dilaksanakan secara rasmi,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.