UMNO Bukan Parti Politik Biasa, Perjuangan Tetap Diteruskan – Annuar

SHAH ALAM, 1 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata Piihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri ((DUN) Sungai Kandis merupakan sebahagian daripada isyarat bahawa perjuangan UMNO akan tetap diteruskan dan tidak akan tunduk dengan sebarang tekanan.

Menurut beliau sememangnya dalam pilihan raya tentunya apa yang dihasratkan adalah soal kemenangan dan jumlah undi yang tinggi namun ada perkara yang lebih penting daripada soal tersebut pada PRK kali ini.

“Kita mahu hantar signal kepada orang yang berkuasa walaupun apa dilakukan kepada UMNO, perjuangan orang Melayu ini kita tetap tidak akan tunduk terhadap sebarang tekanan.

“Kenapa kita berpegang kepada prinsip itu. Kerana UMNO ini bukan sebuah parti politik biasa…UMNO ini bukan lahir setelah ada sebuah negara.

“Kita adalah parti yang lahir sepuluh tahun sebelum negara ini merdeka. Kita ini parti yang lahir setelah kita merasa apa itu makna dijajah dan duduk dibawah telunjuk penguasaan lain,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi LLN Connougt Bridge, sempena kempen PRK Sungai Kandis, di sini malam tadi.

Katanya, daripada itulah timbul kesedaran dan wujud gagasan serta ada kesanggupan daripada bangsa yang berpecah belah, bangsa yang lemah dan agamanya tidak berada pada tempat sewajarnya, bahasanya dan budaya serta segala-galanya adalah kelas ketiga mahupun keempat.

“Kita wujudkan sebuah wadah parti politik yang punya roh dan jiwa serta semangat untuk menjadi warisan selagi mana ada bangsa bernama Melayu dan umat yang menganut agama Islam. Itu bezanya kita dengan parti lain.

“Dalam keadaan itu menang atau kalah dan akaun parti dibeku atau tidak, kita kena bergerak dan tetap kena bangun berdiri serta berjuang,” katanya.

Jelas Annuar lagi apa yang berlaku terhadap parti hari ini merupakan ujian daripada Allah swt.

“Tidak mengapa kita diuji pada waktu ini kita hilang kuasa kerana kita lahir sebagai parti yang tidak ada kuasa. 10 tahun kita berjuang sebelum ada kuasa. Mungkin Allah swt mahu memberikan kekuatan baru kepada kita.

“Mungkin sebelum ini kita ada kelemahan, kita ada kekurangan, kita ada salah maka ini mungkin satu cara bagi kita membersihkan jiwa perjuangan kita, nak buang segala ulat-ulat yang ada dikalangan kita, nak buang ranting-ranting buruk yang di kalangan kita, namun sebagai sebuah parti perjuangan orang Melayu insya-Allah UMNO akan tetap selama-lamanya.

“Insya-Allah…pandang ke depan…manusia rancanglah apa benda namun perancangan Allah adalah lebih baik apabila sampai masanya. Hari ini mungkin kita tidak ada kuasa kerajaan tetapi kalau kita boleh istiqamah berjuang bila sampai ketentuan masanya insya-Allah parti orang Melayu tetap akan menjadi penguasa dalam negara ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.