Pembohongan Manifesto Pakatan Harapan Kian Terserlah – Mohamad


SHAH ALAM, 31 Julai – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Seri Mohamad Hasan percaya manifesto yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) tidak mampu dilaksanakan.

Malah menurut beliau jika dilaksanakan sekalipun ianya akan memudaratkan ekonomi negara.

“Saya percaya manifesto ia tidak boleh buat pun…dah cakap banyak kali sebelum pilihan raya dahulu dan kalau mereka buat pun ianya akan memudaratkan ekonomi negara kita.

“Dia saja buat dan mereka pun terperanjat tidak menyangka menang. Itu sebab tak tahu nak buat apa…itu yang tergaru sana tergaru sini sampai kasut hitam pun keluar,” katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi Taman Seri Andalas, di sini malam tadi.

Kata beliau lagi itulah hakikat yang perlu diterima dan terdapat dua perkara yang telah dilakukan sehingga Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan pada PRU yang lalu.

“Tetapi inilah hakikat…ada dua perkara yang dibuat…mereka lempar fitnah dan buat pembohongan. Fitnah mereka dah berjaya dan fitnah orang…fitnah pemikiran orang sehingga kalahnya Barisan Nasional (BN). Sekarang pembohongan manifesto mereka ternyata terserlah.

“Jadi tidak mengapa…kita tengok sejauh mana mereka nak pergi. Kita mencari redha Allah swt. Kemenangan di Sungai Kandis akan menjadi satu referendum rakyat menyatakan mereka tidak puas hati terhadap janji manifesto yang dijanjikan merupakan satu pembohongan kepada rakyat Malaysia.

“Sebangsat-bangsat UMNO, kita tidak akan menjual maruah bangsa…sebangsat-bangsat UMNO kita tidak akan mempertaruhkan agama kita…jadi mari kita berfikiran secara rasional,” katanya.

Kata Mohamad Hasan lagi yang juga Timbalan Presiden UMNO, kerajaan PH yang ditubuhkan bukan sebuah kerajaan yang mantap sebaliknya sebuah kerajaan yang meminta belas ihsan daripada rakan-rakan.

“Itu sebabnya semuanya naik kepala. Batu sempadan yang telah ditanam dan dipacak sejak merdeka dahulu lagi dan dipersetujui bersama sedang dialih-alihkan,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.