Isu Khazanah Nasional : Adakah Kerajaan Menggunakan Skrip Dan Alasan Basi?


Khazanah Nasional Berhad mengumumkan barisan baharu pengarahnya yang diketuai oleh Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi. Antara yang turut dilantik menganggotai ahli lembaga pengarah adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Hassan Merican.

Pelantikan ahli lembaga pengarah ini dibuat selepas sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah meletak jawatan pada minggu lalu termasuklah Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar.

Persoalan timbul terhadap perletakan jawatan yang dibuat oleh sembilan ahli lembaga pengarah ini memandangkan Perdana Menteri sejak mengambilalih pentadbiran negara masih belum bertemu dan memanggil mesyuarat lembaga pengarah.

Layanan dingin Perdana Menteri ini dilihat sebagai punca utama perletakan jawatan mereka, kerana pelbagai keputusan operasi dan strategik tidak mampu dilaksanakan tanpa mandat.

Terdapat juga laporan menyatakan Perdana Menteri menyasarkan kerugian RM3 bilion dalam pelaburan Khazanah di Bank Swiss, UBS di bawah kendalian Lehman Brothers yang muflis pada tahun 2008 sebagai sebab utama pemberhentian secara serentak lembaga pengarah ini.

Saya tidak menafikan terdapat beberapa keputusan pelaburan yang dibuat Khazanah tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan, namun syarikat pelaburan mana dalam dunia yang mampu mengaut untung dalam dari setiap pelaburan yang dibuat? Sudah pasti adakalanya sesuatu pelaburan itu mendatangkan kerugian – lumrah konsep pelaburan itu sendiri.

Malah dalam isu pelaburan UBS/Lehman itu pun, bukan hanya Khazanah yang mengalami kerugian tetapi juga rakan pelaburnya Santander, kumpulan perbankan terkemuka dari Sepanyol.

Cara terbaik mengadili Khazanah dan pengurusannya bukanlah dengan mensensasikan pulangan satu pelaburan tetapi melihat rekod keseluruhan untuk sesuatu tempoh.

Untuk rekod, prestasi Khazanah selama 14 tahun di bawah pentadbiran Azman Mokhtar dari tahun 2004 telah memberi purata pulangan tahunan sebanyak 9.3%.

Aset Khazanah juga meningkat dari sekitar RM60 bilion kepada RM157 bilion untuk tempoh yang sama, jauh lebih baik daripada 10 tahun pertama kewujudan Khazanah dari 1993 di bawah Perdana Menteri keempat. Maka, untuk menyatakan Khazanah di bawah Perdana Menteri kelima dan keenam gagal memainkan tanggungjawab adalah sesuatu yang menyimpang jauh dari kebenaran.

Maka persoalannya mengapa Kerajaan perlu menggambarkan seolah-olah prestasi Khazanah teruk sehingga perlu meminggirkan Lembaga Pengarah sebelum ini?

Kedua, mengapa perlu melantik Lembaga Pengarah yang bercanggah dengan Janji 22 manifesto menetapkan untuk melantik ahli lembaga pengarah GLC dalam kalangan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka? Jelas Pakatan Harapan memungkiri janji mereka sekali lagi.

Keputusan kerajaan ini juga langsung tidak mencerminkan Malaysia Baharu yang lebih telus dan adil, kerana seolah-olah individu yang tidak sehaluan dengan kerajaan diketepikan walaupun mempunyai rekod yang cemerlang.

Jika sebelum ini Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Dato’ Seri Abdul Wahid Omar menjadi ‘korban politik’ kerajaan, hari ini Tan Sri Azman Mokhtar pula yang menjadi mangsa.

Yang paling merisaukan adalah ketidaktentuan halatuju Khazanah selepas ini. Jika hala tuju selama ini yang telah memberi pulangan baik tidak diminati oleh pentadbiran Kerajaan sekarang, apakah hala tuju baru Khazanah?

Apakah yang akan berlaku kepada RM 157 bilion aset Khazanah yang seharusnya masih boleh menjana pulangan baru kepada negara?

Rakyat sewajarnya berwaspada seandainya jalan cerita kononnya Khazanah sewaktu zaman Tun Abdullah dan Dato’ Sri Najib berprestasi buruk sekadar alasan untuk mengusir pengurusan Khazanah sebelum ini lantas meletakkan dan membabitkan kroni-kroni tertentu.

Seperti mana jalan cerita hutang negara teruk bagi menghalalkan pelbagai janji yang dimungkiri sebelum ini, skrip menyalahkan Kerajaan BN dahulu untuk kegagalan hari ini semakin lama semakin basi dan sukar diterima rakyat.

SHAHRIL HAMDAN
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.