Kekuatan Jentera Penentu BN Terus Kekal Terajui Johor – Mohd Rafi

JOHOR BAHRU, 26 Jun – Kekuatan dan kesepaduan jentera Barisan Nasional (BN) di setiap peringkat menjadi faktor utama dalam memastikan parti itu terus diberi mandat untuk menerajui Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata demikian selepas menghadiri perjumpaan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan DUN Puteri Wangsa yang diadakan bagi menyelaras gerak kerja serta menyuntik semangat menghadapi pilihan raya.

Mohd Rafi yang turut diamanahkan sebagai MKT Angkat bagi kedua-dua DUN berkenaan berkata, seluruh jentera perlu terus bekerja dengan penuh keikhlasan, berdisiplin dan bersatu hati kerana kemenangan tidak akan hadir dengan harapan semata-mata, sebaliknya melalui usaha berterusan dan pengorbanan semua pihak.

“Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan. Setiap jentera mempunyai peranan masing-masing dan semua usaha ini perlu digembleng secara tersusun bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional di setiap kawasan yang ditandingi,” katanya.

Beliau berkata, BN perlu terus memperkukuhkan hubungan dengan rakyat melalui pendekatan turun padang, mendengar sendiri denyut nadi masyarakat serta bertindak menyelesaikan isu yang membelenggu mereka.

Menurutnya, pendekatan itulah yang selama ini menjadi kekuatan BN sehingga terus mendapat kepercayaan rakyat untuk mentadbir dan membangunkan Johor.

“Rakyat Johor adalah rakyat yang bijaksana. Mereka tahu menilai yang mana kaca, yang mana permata. Mereka juga mampu membezakan antara pihak yang hanya hadir ketika musim pilihan raya dengan pemimpin serta jentera yang sentiasa bersama rakyat tanpa mengira masa dan keadaan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh jentera agar terus merapatkan saf, memperkukuhkan perpaduan serta mengelakkan sebarang perkara yang boleh menjejaskan kekuatan parti menjelang hari pengundian.

“Saya mendoakan agar seluruh jentera Barisan Nasional terus diberikan kesihatan, kekuatan, keikhlasan dan semangat juang yang tinggi. Teruskan bekerja sebagai satu pasukan, menyantuni setiap lapisan masyarakat dan membawa mesej kestabilan serta kemajuan yang menjadi teras perjuangan BN.

“Insya-Allah, dengan izin Allah SWT, usaha yang ikhlas dan gerak kerja yang tersusun akan membuahkan kemenangan, sekali gus memastikan Johor terus kekal sebagai benteng kekuatan Barisan Nasional demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO