Pemuda UMNO Gesa Kerajaan PH Beri Layanan Sama Adil Untuk Sekolah Persendirian

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius pendirian terbaru Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang akan menyalurkan peruntukan perbelanjaan pembangunan kerajaan PH kepada Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) setelah mendapat desakan Ahli Parlimen DAP sebagaimana laporan akhbar-akhbar berbahasa Cina yang dilaporkan MalaysiaKini, kata ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, Pemuda UMNO tiada halangan jika kerajaan begitu prihatin untuk membantu SMPC yang berada di luar Sistem Pendidikan Kebangsaan dan tidak tertakluk di bawah Akta Pendidikan Kebangsaan 1996.

“Walau bagaimanapun, Pemuda UMNO menggesa agar layanan yang sama juga harus diberikan kepada Sekolah-sekolah Agama Persendirian, sekolah-sekolah tahfiz persendirian, sekolah-sekolah daif di pedalaman Sabah dan Sarawak yang rata-ratanya lebih memerlukan pembelaan berbanding 61 buah SMPC ketika ini yang kebanyakan kelas-kelas dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin dan internet berkelajuan tinggi.

“Saya ingin menegaskan bahawa Seksyen 64 Akta Pendidikan Kebangsaan, Menteri bertanggungjawab menyalurkan bantuan HANYA kepada institusi-institusi pendidikan di bawah selengaraan Kementerian termasuklah Sekolah-sekolah Kebangsaan dan Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan.

“Sebab itulah semenjak 2009 hingga 2017, kerajaan telah memperuntukkan RM565 juta kepada 1,298 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Pendidikan Kebangsaan 1996 kerana SJKC termasuk di dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Selain itu, tegasnya, di bawah Akta yang sama, tiada keperluan bagi Kementerian untuk menyalurkan sebarang peruntukan kepada sekolah-sekolah swasta atau persendirian. Walaubagaimanapun Seksyen 52 secara spesifik menyebut satu jenis sekolah sahaja yang di luar sistem pendidikan kebangsaan yang boleh dibantu kewangannya oleh Menteri Pendidikan iaitu kepada ‘institusi pendidikan Islam yang tidak ditubuhkan atau disenggarakan oleh Menteri atau Kerajaan Negeri’.

“Justeru, berpandukan kepada Akta Pendidikan Kebangsaan 1996 dan Perlembagaan Persekutuan, Pemuda UMNO menggesa agar Kerajaan turut menyediakan peruntukan pembangunan kepada Sekolah-sekolah Tahfiz Persendirian yang berjumlah 1311 (612 Berdaftar dan 699 Belum Berdaftar), Sekolah-sekolah Agama rakyat yang berjumlah 204 buah (114 Sekolah Rendah Agama Rakyat dan 90 Sekolah Menengah Agama Rakyat) dan ratusan sekolah-sekolah Agama swasta yang beroperasi seluruh Malaysia.”

Ujarnya, Pemuda UMNO juga berharap peruntukan Kementerian Pendidikan juga tidak sesekali dikurangkan untuk menampung komitmen sedia ada yang lebih utama khususnya peruntukan kepada sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan, sekolah-sekolah Agama Persekutuan dan Bantuan Kerajaan (3 SMAP, 58 SMKA dan 220 SABK), 117 sekolah yang dikenal-pasti daif di Sabah, 116 sekolah yang daif di Sarawak,termasuklah institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam yang sememangnya berada di bawah tanggungjawab sepenuhnya Kementerian Pendidikan hari ini.

“Diharapkan juga program-program yang baik seperti skim pembiayaan Pendidikan untuk Sarjana dan PhD MyBrain dapat diteruskan memandangkan Kementerian tampak berupaya memperuntukkan kewangan untuk institusi swasta di luar tanggungjawab hakiki mereka,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.