Sertai PRK Lihat BN Berdepan Cabaran Dalam Satu Saf kepimpinan – Annuar


SHAH ALAM, 24 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata Barisan Nasional (BN) akan tetap menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong sepertimana keputusan yang diambil pada PRK Sungai Kandis walaupun pada pilihan raya sebelum ini tewas dengan majoriti yang besar.

Menurut beliau apa yang penting pada pilihan raya kecil berkenaan adalah untuk melihat bagaimana BN mengadapi proses tersebut termasuklah berdepan cabaran serta ujian yang melanda hari ini dalam satu saf perjuangan bersama.

“PRK ini bukan jumlah bilangan undi yang kita perolehi semata-mata. Bukan soal ‘result’ terpenting. Yang lebih penting adalah proses bagaimana kita hadapi PRK ini.

“Bagaimana cara kita uruskan kempen kita. Bagaimana BN menerima ujian ini sebagai satu saf perjuangan bersama. Ramai juga yang dah goyang… tidak sekata… kerana kita sekarang semua sedang menghadapi ujian.

“Begitu juga ahli UMNO. Kalau sertai UMNO kerana projek kita sudah tidak ada projek mahu pun habuan, tetapi matlamat perjuangan kita tidak berubah. Kita wujudkan parti kerana soal tanggungjawab negara bangsa adalah tanggungjawab kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memperkenalkan calon dan penyerahan anak angkat bahagian-bahagian negeri Selangor, di ‘Command Centre” BN N.49 Sungai Kandis yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan malam tadi.

Turut serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan pimpinan UMNO serta BN yang lain.

Annuar Musa seterusnya menegaskan, bukan sahaja BN sebagai pembangkang akan terus menghadapi ujian demi ujian malah kerajaan PH juga akan turut mengalami perkara yang sama.

“Kita terima kita kalah. Dulu saya BNBBC, esok saya akan berucap sebagai pembangkang. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain di parlimen dan semangat kita sedikit pun kita tidak goyah. Harap ini semangat yang akan kita bawa dalam PRK kali ini,” katanya

Tambah Annuar antara UMNO dengan Pas sesuatu yang digerakkan oleh Allah s.w.t dan politik negara sedang berubah.

“Antara kita dengan Pas…terjadi sesuatu digerakkan Allah s.w.t. Politik negara sedang berubah. Apakah tuan-puan fikir PH akan lama memerintah. Ramalan saya paling lama dua tahun setengah sahaja.

“Mereka dalam masa dua tahun dijangka akan ada dua PM. Hanya Allah swt yang tahu. Maka janganlah orang UMNO dan BN seolah-olah dunia telah kiamat politik. Segala-galanya atas kita, yang penting solidariti… kesetiaan kepada parti. Kempen sekarang ini semua boleh jadi askar…boleh jadi JR dan boleh bantu calon.

“Kalau duduk dimana sekalipun banyak perkara yang boleh dibuat dalam usaha membantu calon kita. Kalau dulu perang secara ‘regimen formal’ kita sekarang jadi perang secara ‘gerila’. Ubah cara kita bergerak kalau kita sayang pada parti, bangsa serta negara dan kalau sayang pada keharmonian pastilah bermula kerja kita menjatuhkan kerajaan PH. Ini tanggungjawab kita bersama,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.