PRK Sungai Kandis Ruang Latihan Jentera Parti Tuju PRU-15 – Mohamad


SHAH ALAM, 23 Julai – Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan PRK berkenaan sebagai medan untuk melatih jentera parti ke arah pilihan raya umum akan datang.

Justeru beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menggesa agar seluruh jentera parti pelbagai peringkat menggunakan kesempatan berkenaan bukan sahaja untuk membantu kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam malah sebagai ruang untuk masing-masing mempersiapkan diri memperkukuhkan parti.

“Ada orang kata mengapa buang masa kerana kita baru sahaja mengalami kekalahan teruk pada PRU sebelum ini tapi itu bukan perkara pokok.

“Perkara pokok adalah kita nak pastikan UMNO dan BN bersiap siaga menyiapkan diri menghadapi PRU akan datang dan melatih jentera yang terbaik dalam PRK. Tidak lama lagi akan ada banyak lagi PRK dan bersiap sedialah.

“Yang penting kita mesti ambil bahagian untuk pulihkan semangat dan inilah tempat yang terbaik untuk berkempen dan terangkan isu. Jangan takut… selepas ini kita tidak akan tertanggung lagi dengan bebanan dan tuduhan yang dilemparkan sebelum ini. Kos sara hidup…Felda, 1MDB dan sebagainya kini menjadi tugas mereka. Yang penting kita perlu bawa isu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis memperkenalkan calon dan penyerahan anak angkat bahagian-bahagian negeri Selangor, di ‘Command Centre” BN N.49 Sungai Kandis.

Turut serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan pimpinan UMNO serta BN yang lain.

Mohamad seterusnya menegaskan apa yang penting hari ini masing-masing bersatu di semua peringkat dan jadikan apa yang berlaku pada PRU yang lalu sebagai sandaran.

“Sekarang nasi sudah jadi bubur dan ini ada hikmah daripada Allah swt untuk menyedarkan kita. Yang penting kita mesti bersatu. Banyak kawasan yang kita tewas dan kalah pada PRU lalu bukan disebabkan oleh isu…, bukan disebabkan oleh orang luar dan sebagainya tetapi disebabkan pergeseran dalaman.

“Buanglah yang keruh. Sekarang ini ambil yang jernih. Berpakat elok-elok.  Kita sama-sama bantu,” katanya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.