Jadikan PRK Sungai Kandis Sebagai Referendum Rakyat Tolak PH – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 23 Julai – Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis untuk menjadikan PRK ini sebagai referendum rakyat menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, rakyat sudah kecewa dengan kerajaan PH yang sebelum ini menjanjikan macam-macam perkara melalui manifesto mereka.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dah gambarkan tak akan tunaikan janji sebab janji bukan kitab suci. Ramai yang kecewa tapi dengan adanya PRK ini, rakyat tertumpu di sini dan pengundi akan dianggap mewakili rakyat dengan memprotes apa yang dijanjikan kerana rakyat dah jelak dengan janji-janji dari kerajaan.

“Jika mereka masih menang maka mereka akan terus tak menunaikan jani, terus memperkotak-katikkan agama kita, bahasa kita. Kalau nak kerajaan tunaikan janji berilah kemenangan kepada calon BN,” katanya.

Sebelum itu beliau meminta maaf kepada rakyat lantaran sewaktu menjadi Menteri Pertanian dalam kerajaan dahulu tidak terfikir pun untuk ‘mengira’ ikan di laut.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika memberikan penerangan berkaitan perubahan gerak kerja dan pendekatan jentera Barisan Nasional (BN) dalam kempen PRK DUN Sungai Kandis.

“Keputusan mesyuarat dalam Pengurusan UMNO Kota Raja dan UMNO Negeri yang perlu dilaksanakan di setiap PDM dengan gerak kerja PRK kali ini berbeza, dulu tumpuan berbentuk kenduri, ceramah besar-besaran tapi kali ini lebih kepada media sosial, perang lebih kepada media sosial.

“Pihak BPUN akan selaraskan dimana setiap hari akan ada info grafik yang akan dikeluarkan dan menggunakan media sosial kepada lebih 30 ribu pengundi misalnya tentang tiga bilion ikan dalam laut yang dah dikira sedangkan selama saya jadi menteri tak terfikir nak kira ikan dalam laut pun,” katanya.

Beliau turut mengambil contoh pelaksanaan kasut hitam untuk pelajar sekolah yang merupakan polisi pertama dibuat oleh Kementerian Pendidikan.

“Bukan nak tingkatkan mutu kementerian tapi tentang kasut hitam…,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam majlis memperkenalkan calon dan penyerahan anak angkat bahagian-bahagian Negeri Selangor yang diadakan di Command Center PRK N49 Sungai Kandis.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tan Sri Annuar Musa selaku Setiausaha Agung UMNO Malaysia bersama dengan Datuk Seri Mohamad Hassan iaitu Pengarah Pilihan Raya PRK DUN Sungai Kandis merangkap Timbalan Presiden UMNO Malaysia dan juga calon BN Datuk Lokman Noor Adam.

PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR pada 2 Julai lalu. SPR menetapkan pilihan raya diadakan pada 4 Ogos depan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.