Gagal Tunai Janji 100 Hari, Rakyat Patut Sedar Sudah Ditipu Oleh PH -Tajuddin Rahman

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, rakyat seharusnya sudah sedar bahawa mereka sememangnya ditipu oleh janji manis Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Jelas beliau, ini ekoran kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengakui kerajaan PH sememangnya tidak dapat menunaikan janji manifesto mereka sepenuhnya.

“Walaupun baru 70 hari, sepatutnya kerajaan PH mempunyai keyakinan untuk melaksanakan janji tersebut tapi awal-awal lagi mereka sudah mengaku kalah.

“Macam-macam alasan mereka bagi kerana tidak mampu menunaikan janji… baru sekarang mereka sedar betapa susahnya mahu menunaikan janji bulan dan bintang.

“Jadi, rakyat patut sedar mereka sudah tertipu maka kini terpulanglah kepada rakyat untuk terus mempercayai PH ataupun tidak,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Baru-baru ini semasa berucap selepas mesyuarat agung tahunan Dewan Perdagangan Amerika di Kuala Lumpur, Tun Mahathir mengakui kerajaan memerlukan masa lebih daripada 100 hari untuk menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto PH menjelang PRU lalu.

Menurut beliau, itu kerana manifesto terbabit dirangka ketika gabungan dalam PH yang tidak menjangkakan mampu memperoleh kemenangan mengatasi BN dan membentuk kerajaan.

“Mereka berani menabur janji yang kuat yang akhirnya didapati sukar untuk dilaksanakan,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.