Golongan Muda Diharap Berfikir Matang Untuk Pilih Wakil Rakyat DUN Sungai Kandis

SHAH ALAM, 22 Julai – Pengundi muda dikatakan banyak mempengaruhi kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya menyemai politik kebencian yang tinggi di hati dan minda mereka.

PH berjaya mencorakkan pola pemikiran untuk golongan muda menjalankan tanggungjawab mengundi demi kerana hasrat menjatuhkan Barisan Nasional (BN) sekaligus menjatuhkan parti yang telah banyak berjasa kepada negara dan rakyat.

Tinjauan yang dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bersempena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan pada 4 Ogos ini menyaksikan rata-rata pengundi berharap agar anak muda dapat berfikiran matang dan menilai dengan baik parti mana sebenarnya yang mampu membawa suara rakyat.

Bagi Narisah Ibrahim, 61, anak muda sepatutnya sudah boleh menilai bagaimana keadaaan negara sekarang ini di bawah pemerintahan yang baru.

“Saya harap dengan keadaan sekarang yang ada banyak isu belum berjawab dan sekiranya anak muda mengikuti perkembangan politik, ia akan mampu memberi impak kepada mereka untuk menilai.

“Anak muda boleh membuat perbandingan antara pemerintahan BN dengan pemerintahan sekarang ini.

“BN juga mengetengahkan calon yang sememangnya layak dan berani bersuara untuk membawa masa depan rakyat, jadi fikirlah dengan baik kali ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Faizal Anuar Sulaiman, 42, pula merasakan bakal ada gelombang yang akan membawa kemenangan kepada BN kali ini.

“Walaupun sebelum ini kita tewas tapi saya dapat rasakan ada gelombang yang mampu memberi kita kemenangan apatah lagi terdapat banyak janji-janji PH yang tidak mampu dipenuhi walaupun sudah hampir 100 hari pemerintahan mereka,” katanya.

Juriah Mat Hassan, 62, turut melahirkan hasrat agar anak muda dapat memahami situasi politik sebenar.

“Seharusnya anak muda sudah dapat melihat dan menilai… terdapat banyak isu yang sepatutnya memberi lebih kesan positif kepada BN.

“Janganlah kerana hanya mahu perubahan, agama, negara dan masa depan anak bangsa yang tergadai,” jelasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.