UMNO Kecam Keputusan Israel Luluskan Rang Undang-undang Tanah Yahudi

KUALA LUMPUR, 20 Julai – UMNO sependirian dengan negara-negara lain dalam mengecam sekeras-kerasnya keputusan Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang Tanah Yahudi semalam, yang melucutkan sama sekali hak rakyat Palestin ke atas wilayah nenek moyang mereka, kata Presidennya Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dengan itu, katanya, UMNO menggesa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan agar mengutuk perbuatan tidak bertamadun ini, serta mendesak Kerajaan Amerika, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Persidangan Islam, PBB dan badan-badan dunia yang berteraskan keamanan sejagat, agar mendesak Tel Aviv mengkaji semula rang undang-undang itu dan menghormati pandangan masyarakat antarabangsa.

“Ahli-ahli Parlimen pembangkang juga bersama-sama mendesak Wisma Putra agar meneruskan dasar Kerajaan Malaysia yang menentang sebarang bentuk tindakan yang menafikan hak asasi rakyat Palestin untuk terus menuntut hak sah sebagai negara yang berdaulat dan menegakkan pemerintahan sendiri serta menolak sebarang tindakan yang mencabul hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegas beliau, dasar ala aparthied ini juga menghapuskan peruntukan Perlembagaan yang mengiktiraf Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi negara itu serta Palestin selain turut mengiktiraf Baitulmuqaddis atau Jerusalem sebagai ibu negara baru Israel, yang memadamkan sebarang bantahan umat Islam dan Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu terhadap isu itu.

“Tindakan keterlaluan rejim Yahudi ini sama sekali bertentangan dengan Perisytiharan Balfour 1926 yang cuma menyebut Yahudi berkongsi bumi Palestin sebagai ‘tempat tinggal bersama’.

“Biarpun ahli Knesset berbangsa Arab menentang akta itu, mereka terpaksa akur dengan kuasa majoriti Ahli Parlimen Yahudi yang semuanya mengundi menyokong rang undang-undang itu.

“Ia dikhuatiri akan mencetuskan bantahan serta keganasan yang lebih hebat di Palestin. Ini sudah pasti digunakan oleh pasukan keselamatan Israel sebagai satu ‘lesen’ untuk terus membunuh orang Palestin yang menentang mereka,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.