Kesilapan Besar Kerajaan Pakatan Harapan

Harga minyak dijanji akan segera turun untuk golongan berpendapatan rendah, tetapi sebaliknya harga RON95 masih kekal manakala RON97 pula diapung. Inflasi dijanji akan dikurangkan, tetapi tarif elektrik dinaikkan di Pulau Pinang dan di lain-lain tempat sehingga bakal membawa kesan berantai. Tol dijanji akan dihapuskan, namun sehingga kini pelan pemansuhan beransur-ansur itu tidak pun kelihatan.

2. Sedang rakyat masih berkira-kira berapa banyak sebenarnya harga barang akan turun apabila GST dimansuhkan, cukai SST pula bakal dilaksanakan. Rakyat dari semua golongan merasa sudah tertipu.

3. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini baru berusia hampir 60 hari. Walau bagaimanapun, sebahagian ahli politik yang menerajui PH bukanlah individu yang tidak berpengalaman sama sekali dalam menjawat posisi pentadbiran utama negara sebelum ini.

4. Namun demikian, terdapat terlalu banyak isu berbangkit yang seharusnya tidak diambil mudah dan perlu direnungkan secara mendalam oleh kesemua pihak tertinggi dalam pentadbiran negara ketika ini.

5. Terdapat sekurang-kurangnya tiga dimensi yang perlu diberi perhatian. Pertama ialah janji manifesto PH. Kedua ialah percakaran dalaman sesama pemimpin PH. Ketiga dan terakhir ialah pemeliharaan institusi Raja-raja Melayu, agama Islam, dan Bahasa Melayu.

6. Sukar untuk menafikan bahawa tempoh hampir 60 hari pertama pentadbiran kerajaan Pakatan ketika ini dibayangi persepsi kegagalan demi kegagalan kerajaan menunaikan janji mereka dalam manifesto PRU-14 yang lalu.

7. Paling kencang tentulah persepsi terhadap janji PH yang berkait dengan kos sara hidup seperti janji memansuhkan tol, janji subsidi petrol bersasar, janji penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN. Demikian juga janji lain yang meskipun tidak bersifat ekonomi namun tetap menjadi perhatian rakyat seperti isu 30 peratus anggota kabinet wanita dan janji pemansuhan Biro Tatanegara (BTN).

8. Isunya di sini ialah kaedah pengurusan kerajaan Pakatan Harapan berkenaan dengan janji yang masih belum mampu mereka penuhi.

9. Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PH perlu lebih serius dalam memerangi persepsi bahawa mereka sengaja untuk tidak menunaikan janji-janji mereka dalam PRU-14 yang lalu. Tunjukkan dengan segala data dan fakta yang jelas dan terperinci akan situasi kewangan negara yang tidak mengizinkan segala janji berkenaan kenapa tidak dapat ditunaikan, tidak cukup sekadar membuat kenyataan media dan mengulang-ulang skrip menyalahkan kerajaan BN terdahulu. Budak kecik pun tahu kalau tak boleh nak tunai jangan suka berjanji. Janji Pilehanraya besar kesannya. Usah janji dicapati!

10. Satu lagi kelemahan besar kerajaan Pakatan Harapan hari ini ialah kejadian percakaran secara terbuka sesama pemimpin parti merwka di dalam Pakatan.

11. Antara deretan isu terkini ialah isu tekanan DAP Perak memaksa YB Ngeh Koo Ham dilantik menjadi Speaker DUN mengetepikan YB Siti Aisyah dari PKR, juga isu Ketua Pemuda DAP Perak Wong Kah Koh lantang menghentam pemilihan anggota Kabinet oleh Tun Mahathir secara terbuka, isu kritikan Rafizi Ramli kepada kerajaan berhubung kenaikan tarif elektrik dan pelantikan ahli kabinet, isu kritikan Anwar Ibrahim ke atas pendekatan ala-detektif Lim Guan Eng, dan pelbagai percakaran lagi. Kesemua itu sedang diperhatikan oleh rakyat.

12. Tentu sekali kerajaan hari ini berbeza dari segi komponennya berbanding kerajaan kerajaan BN dahulu yang didominasi oleh UMNO. Kali ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Tun Dr. Mahathir tidak menguasai jumlah kerusi yang besar seperti mana UMNO yang menerajui BN. Itu adalah hakikat.

13. Sebaliknya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memiliki senarai ahli parlimen Pakatan yang paling ramai diikuti DAP. Maka pastilah terdapat sebegitu banyak tuntutan dan rundingan tawar-menawar yang berlaku pada fasa awal pembentukan kerajaan dan pembuatan dasar negara bagi mengimbangi kepentingan setiap parti.

14. Namun eloklah sebarang rasa ketidakpuasan hati tidak diluahkan secara negatif dan keras kerana imej perpecahan akan mengimpak kepada keyakinan rakyat sekiranya diteruskan dalam jangka masa panjang.

15. Masalah ketiga dan yang paling kontroversi tentunyalah berkenaan tentang pemeliharaan institusi Raja-raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu. Pendedahan Abdul Kadir Jasin tentang jumlah perbelanjaan Yang Dipertuan Agong (YDPA) amat tidak wajar, isu hangat pelantikan Peguam Negara Tommy Thomas yang tidak fasih berbahasa kebangsaan, isu kenyataan rasmi Menteri Kewangan yang diterjemah ke Bahasa Mandarin, ura-ura hubungan tegang Istana dengan Putrajaya yang cuba dikendurkan oleh Anwar Ibrahim, kesemua ini mengundang keresahan di kalangan umat Islam di negara ini.

16. Perlu diingat bahawa UMNO masih menguasai kerusi orang Melayu terbanyak di Parlimen dengan 52 kerusi. Sekiranya langkah drastik tidak diambil segera bagi menunjukkan kerajaan Pakatan hari ini mampu menjadi pelindung kepada kesemua teras Melayu-Islam ini, tidak mustahil UMNO – bahkan PAS – bakal merampas sokongan di kerusi-kerusi Melayu yang kini dikuasai oleh Pakatan. Jangan terlepas pandang aura Mahathir ternyata semakin kendur seusang usia beliau.

17. Sedarlah bahawa rakyat amat mendambakan perubahan dan penambahbaikan yang sebenar dan sejati, bukannya permainan ‘blame game’ dan retorik yang tidak berkesudahan.

18. Hentikanlah alasan seperti ‘segalanya perlu ditangguh dan disemak akibat kerosakan kerajaan terdahulu’ sedangkan dalam masa yang sama kelompok tertentu terus rakus mengaut untung harta rampasan perang. Kisah monopoli tapak DBKL oleh Armada PPBM disokong DAP Bukit Bintang, kisah saham Vincent Tan dalam syarikat berkepentingan ECRL (telah dijual), kisah kekayaan Taib Mahmud yang belum (dan enggan?) disiasat, dan pelbagai kisah lagi yang berlaku secara diam-diam wajib dibanteras segera. Ketahuilah rakyat sudah semakin mual dan tidak percaya.

19. Tunaikanlah segera janji untuk menurunkan beban hidup rakyat. Kurangkan berpolitik dengan menyalahkan pihak lain. Cukuplah berpolitik demi kepentingan kelompok terpilih. Sayangilah rakyat. Kasihanilah mereka.

Abdul Muein Abadi

Penulis Pensyarah Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


5 months ago