Apa Masalah Tommy Thomas Dengan Bahasa Melayu?

Peguam Negara Malaysia mengaku tidak fasih dan tidak selesa berbahasa Melayu

Sejurus prosiding pendakwaan terhadap DS Najib bermula, Peguam Negara memohon supaya prosiding diteruskan di dalam Bahasa Inggeris.

Dari sumber dalaman rakan-rakan di Jabatan Peguam Negara, Tommy Thomas tidak suka pegawai atau kakitangan jabatan berbahasa Melayu ketika berbicara dengan beliau.

Apa masalah Tommy Thomas dengan Bahasa Melayu?

Kononnya dia pakar Perlembagaan? Kalau benar pakar, pastinya Peguam Negara cukup arif peruntukkan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Kononnya dia seorang pengamal undang-undang yang berpengalaman luas. Hampir 40 tahun beramal sebagai peguam di Mahkamah seluruh negara. Bagaimana beliau beramal selama ini sedangkan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963 memperuntukkan bahawa bahasa perantara bagi semua prosiding Mahkamah adalah Bahasa Kebangsaan?

Adakah selama ini Tommy Thomas memohon agar setiap prosiding yang beliau kendalikan berlangsung di dalam Bahasa Inggeris?

Peguam Negara adalah seorang penjawat awam terkanan negara Malaysia. Jawatan ini diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Seseorang Peguam Negara Malaysia yang tidak fasih atau tidak selesa berbahasa Melayu sebenarnya bukan sahaja tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963, bahkan juga mempunyai nilai patriotisme, semangat kekitaan pada tanah ini serta nilai ketatanegaraan yang amat tandus.

Tommy Thomas tidak sesuai menjawat tugas Peguam Negara Melaysia.

Noktah.

Dato Hasnal Rezua Merican

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang, Pengamal Undang-undang

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.