Asyraf Rungkai Persoalan UMNO Tarik Sokongan Terhadap PM
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyenaraikan tujuh sebab berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi yang menarik sokongan serta merta terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi catatan di Facebooknya, Asyraf turut menyentuh panjang lebar bagaimana kegagalan Perdana Menteri dalam memenuhi aspirasi rakyat serta menjelaskan dengan tegas segala keputusan yang diambil adalah selaras dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020.
“MKT berpandangan Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri gagal untuk memenuhi aspirasi rakyat sebagaimana UMNO meletakkan dua garis panduan utama MKT gariskan untuk terus menyokong beliau sebagai PM pada 11 Mac 2020, 10 hari selepas dilantik selaku PM iaitu kerajaan perlu memenuhi aspirasi rakyat dan Kerajaan perlu ada pelan berkesan tangani Pandemik COVID-19.
“Keputusan MKT semalam juga jelas mengekalkan pendirian Perhimpunan Agong untuk tidak sesekali akan menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri mahupun menyokong Kerajaan yang ditunjangi PH-DAP (PH-DAP Led Government),” ujarnya.- UMNO Online
Berikut merupakan artikel penuh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
1. KENAPA UMNO TARIK SOKONGAN TERHADAP TAN SRI MUHYIDDIN SEBAGAI PERDANA MENTERI?
Kelmarin adalah hari yang penuh dramatik. Masakan tidak, di sebelah petang semacam tergesa-gesa keluar kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri mengenai perlantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan semacam menghidu bahawa UMNO bakal membuat ketetapan penting di sebelah malamnya.
Sudah berulang kali Perdana Menteri melakukan sesuatu tindakan yang sengaja membelakangi UMNO sebagai sebuah parti.
1. UMNO dalam Mesyuarat MKT pada 11 Mac 2020 setelah tertubuhnya Kerajaan Baharu 1 Mac 2020, telah meletakkan 3 Garis Panduan dan 6 syarat untuk Tan Sri Muhyiddin segera ambil tindakan sebagai asas sokongan terhadap beliau selaku PM. Antaranya termasuklah (1) Penubuhan RCI Tabung Haji; (2) Pendakwaan segera kes Allahyarham Adib; (3) Buka semula kes-kes jenayah yang ditarik balik zaman PH; (4) Hentikan polisi jualan aset-aset strategik negara; (5) Hentikan Dasar Pengurangan Penjawat Awam; dan (6) Batalkan IPCMC. Malangnya hanya satu yang dilayani.
2. UMNO telah menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan mendaftarkan Perikatan Nasional sebagai sebuah PARTI POLITIK dalam pertemuan antara Biro Politik UMNO (saya hadir) dengan PM di rumahnya di Bukit Damansara pada bulan Jun 2020. Namun tidak diendahkan apabila secara senyap-senyap 28 Julai 2020, PPBM menubuhkan Jawatankuasa Penaja Parti PN dengan menarik rakan MN iaitu PAS dan juga peringkat awal komponen BN MIC (sebelum MIC umum tarik diri pada 27 Ogos 2020).
3. Terbaru perlantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang tidak langsung dirujuk kepada UMNO, sedangkan PM tahu bahawa pendirian UMNO yang diputuskan dalam Mesyuarat MKT pada 19 Februari 2021 di ILMU Janda Baik telah menetapkan pendirian untuk tidak bersetuju dan meletakkan titik noktah kepada sebarang tawaran jawatan TPM (sehingga Mesyuarat MKT malam tadi, keputusan ini belum dibatalkan oleh mesyuarat). Walaupun itu hak mutlak PM tetapi seharusnya sebagai rakan kongsi yang membentuk kerajaan, beliau sewajarnya mengemukakan tawaran terlebih dahulu kepada Parti untuk menominasi sesiapa. (Apa-apapun saya mewakili Pemuda UMNO turut menzahirkan ucapan tahniah buat Datuk Seri Ismail Sabri atas perlantikan).
2. KENAPA MKT BUAT KEPUTUSAN SEKARANG?
MKT berpandangan Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri gagal untuk memenuhi aspirasi rakyat sebagaimana UMNO meletakkan 2 GARIS PANDUAN UTAMA MKT gariskan untuk terus menyokong beliau sebagai PM pada 11 Mac 2020, 10 hari selepas dilantik selaku PM:
1. Kerajaan perlu memenuhi aspirasi rakyat
2. Kerajaan perlu ada pelan berkesan tangani Pandemik Covid-19
Berasasakan kepada GARIS PANDUAN ini, MKT memberikan alasan berpandukan 7 perkara yang menunjukkan kegagalan Perdana Menteri menangani Pandemik Covid-19 sekaligus gagal memenuhi harapan dan tuntutan rakyat.
Beberapa indikator penting:
– Dalam tempoh 38 hari semenjak ‘TOTAL LOCKDOWN’ diumumkan PM yang separa masak (rakyat dikurung; tauke kilang dijunjung) hanya menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada lebih 5,768 korban.
– Dalam tempoh 175 hari semenjak Darurat yang kononnya untuk tangani Covid-19 diproklamasikan, daripada 578 kematian (14 Januari 2021) meningkat 10 kali ganda kepada 5,768 pada 7 Julai 2021.
– Tuntutan UMNO bagi pihak rakyat dalam isu Moratorium tanpa caj terakru, dasar moratorium untuk diperluaskan kepada agensi-agensi kredit lain samaada di bawah kerajaan seperti LPPSA mahupun swasta, i-Sinar, i-Citra tidak diendahkan.
3. APA BERLAKU JIKA TAN SRI MUHYIDDIN GAGAL MELETAKKAN JAWATAN SECARA TERHORMAT?
Kedudukan Tan Sri akan terjawab setelah Darurat tamat pada 1 Ogos sebagaimana Titah Yang di-Pertuan Agongb dan DYMM Raja-Raja Pemerintah, manakala Parlimen mula bersidang untuk menentukan secara sah samaada beliau masih punya majoriti ataupun tidak.
4. SIAPA CALON PERDANA MENTERI DARI UMNO?
Presiden UMNO sudah menyatakan bahawa beliau berjiwa besar untuk tidak dicalonkan selaku PM kerana mahu menumpukan kepada membersihkan namanya di Mahkamah dan akan mencadangkan beberapa nama yang akan diputuskan oleh MKT. UMNO tidak ketandusan pemimpina-pemimpin termasuklah Datuk Seri ismail Sabri, Datuk Seri Hishamuddin, dan ramai lagi yang punya pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran zaman BN memerintah.
5. PRU TIDAK BOLEH DIADAKAN, JADI APA CADANGAN MKT UMNO UNTUK CALON ALTERNATIF PERDANA MENTERI?
Memandangkan keadaan tidak mengizinkan untuk diadakan Pilihanraya Umum, seorang Perdana Menteri yang bakal dicadangkan kelak untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin hanya berfungsi untuk satu TEMPOH TERHAD antara 6 bulan ke setahun bergantung kepada keadaan Covid-19 terutamanya aspek vaksinasi dan imunisasi. Sekiranya sudah mencapai tahap Imunisasi Berkelompok (Herd Imunity) 80-90%, maka rakyat dalam keadaan selamat untuk diadakan Pilihanraya Umum.
6. KENAPA PRU PENTING?
Selagi Kerajaan tidak mendapat mandat sebenar rakyat selagi itulah tahap keyakinan dan kepercayaan pelabur untuk melabur di Malaysia tidak akan tercapai. Kita memerlukan pelabur (real investor) yang masuk untuk tempoh masa panjang yang mampu mencipta perkerjaan dan menjana ekonomi bukannya hanya di pasaran modal yang bersifat jangka pendek. Pelabur seperti ini hanya melabur dalam ekonomi yang mempunyaim sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.
7. APAKAH AKAN ADA JAJARAN BARU DENGAN ANWAR?
Keputusan MKT semalam jelas mengekalkan pendirian Perhimpunan Agong untuk tidak sesekali akan menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri mahupun menyokong Kerajaan yang ditunjangi PH-DAP (PH-DAP Led Government).
#UMNOBersamaRAKYAT