Tujuh Rasional Ekonomi Mewajarkan ‘Total Lockdown’ – Dr Asyraf
RAMAI yang masih berharap Total Lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh 14-21 hari sebagaimana PKP 1.0 dilaksanakan, berbanding pendekatan PKP dengan SOP ‘sekejap ketat sekejap longgar’ yang berpanjangan bagaikan tiada kesudahan.
7 Rasional dari segi ekonomi yang mewajarkan TOTAL LOCKDOWN:
1. Lebih 55% ekonomi negara dipacu sektor perkhidmatan seperti Makanan dan Minuman, Pelancongan, Peruncitan, Logistik dan lain-lain yang bergantung apabila rakyat berbelanja.
Selagi PKP separa masak dilaksanakan dan berpanjangan, kes-kes COVID-19 tidak berkurangan, selagi itulah sektor-sektor utama ini sukar berfungsi untuk menjana kembali ekonomi.
2. Kenyataan seorang Menteri yang mendakwa firma besarlah tempat ramainya rakyat bergantung hidup hingga merasionalkan tindakan Kerajaan untuk lebih menjaga hati tauke-tauke besar, adalah tidak tepat.
Hakikat sebenar sektor mikro, kecil dan sederhana (SME) adalah tulang belakang ekonomi negara yang menyumbang lebih 38.9% kepada KDNK atau RM552.3 bilion (Jabatan Perangkaan Negara, 29 Julai 2020).
Justeru PKP separa masak dengan SOP ‘kejap ketat kejap longgar’ tidak membantu sama sekali sektor SME bahkan menyukarkan operasi mereka.
3. Data dan Sains menunjukkan walaupun 37% ekonomi disumbangkan oleh sektor perkilangan, namun data dan sains juga membuktikan bahawa kilang-kilang penyumbang terbesar hingga 50% penularan wabak Covid-19.
Tiada jaminan penularan wabak ini boleh dihentikan begitu sahaja tanpa TOTAL LOCKDOWN.
4. Jika TOTAL LOCKDOWN atau SEPARA LOCKDOWN, syarikat-syarikat besar hampir pasti boleh terus bayar gaji pekerja-pekerja mereka atau tawar insentif potongan gaji.
Sebaliknya SME yang bergantung pendapatan harian yang lebih teruk terkesan dengan PKP ‘kejap ketat kejap longgar’ yang tiada kesudahan.
Justeru, lebih baik TOTAL LOCKDOWN 14-21 hari yang sifatnya susah dan perit sekali tetapi tidak berpanjangan.
Kerajaan juga boleh fokus tawar bantuan (intervensi) untuk sektor ini bagi tempoh masa yang singkat.
5. Jika benar kos sehari PKP 1.0 adalah RM2.4 bilion sehari ditanggung kerajaan (Bicara Khas YAB Perdana Menteri (PM) 23 Mei 2021), maka TOTAL LOCKDOWN selama 21 hari bersamaan RM50.4 bilion bukanlah sampai RM500 bilion.
RM50.4 bilion hanyalah 3.57% daripada KDNK negara iaitu sekitar RM1.4 trilion.
Lebih baik rugi sekali daripada berpanjangan hingga ekonomi tak mampu dijana kembali.
6. Kerajaan masih boleh membiayai bantuan-bantuan khas sepanjang TOTAL LOCKDOWN 21 HARI melalui pinjaman-pinjaman baharu kerana YB Menteri Kewangan sendiri menyatakan jumlah hutang negara masih dibawah had siling (60% daripada KDNK) yang ditetapkan Akta Hutang Negara.
Lagipun Moratorium 2.0 tanpa caj tambahan untuk tempoh 3 bulan, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 tiada kos tambahan kepada kerajaan.
7. Tempoh TOTAL LOCKDOWN 21 hari mampu beri kesan besar dan paling maksima untuk mengawal penularan COVID-19 kerana jangka hayat virus hanya sehingga 14 hari.
Justeru fokus Kerajaan boleh dimanfaatkan untuk menyusun strategi dan sumber daya kesihatan Kerajaan seperti saringan pengesanan dan pengasingan di kalangan rakyat dalam skala besar dan pemberian vaksin dengan lebih berkesan secara meluas.
Dengan kadar kes positif COVID-19 yang kian meningkat, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekali lagi memohon agar Kerajaan dapat mengkaji semula keputusan untuk hanya mengetatkan PKP bukannya TOTAL LOCKDOWN sebagaimana yang diharapkan majoriti rakyat.
Lebih baik susah sekali daripada berkali-kali.
Lebih baik utamakan dahulu nyawa rakyat daripada ekonomi.
Lebih baik perit seketika daripada merana berpanjangan. – UMNO ONLINE
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia