PRU15 Terus Jadi Fokus UMNO, Optimis Laksana Persiapan – Pemuda UMNO Perak

PASIR SALAK, 14 April – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak, optimis dengan persiapan jentera untuk sentiasa fokus menuju ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata persediaan sudah dilakukan membabitkan Pemuda sebagai anggota jentera parti di setiap bahagian-bahagian di negeri terbabit.

“Kita bekerja sebaik mungkin untuk persiapan pilihan raya ini dan jentera Pemuda telah bersiap sedia.

“Terutama sekali kita ada empat portfolio utama yang telah kita siapkan sebagai landasan untuk jentera pemuda bergerak. Ini termasuklah gerak gempur Pemuda bahagian, logistik, bahan kempen dan juga Skuad Sabil,” katanya.

Sementara itu, kesiap-siagaan sama turut dilakukan oleh Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak yang juga sudah melakukan persediaan sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada awal tahun lalu, kata Ketuanya, Abdul Hamid Abidin.

Jelas beliau, pelbagai program juga dilakukan bagi memantapkan lagi jentera pergerakan itu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya bila-bila masa sahaja.

“Kami kalau ikutkan sudah lama bersedia selepas bubarnya kerajaan PH, ketika itu kami pun mengharapkan ianya terus diadakan bagi memastikan keadaan politik negara kukuh dan terjamin.

“Namun begitu, gerakan itu tidak berhenti kerana kami sentiasa mengadakan program yang melibatkan Pemuda UMNO malah dalam tempoh mengekang penularan COVID-19 ini pun kami masih melaksanakan gerak kerja dengan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” jelas beliau.

Kedua-dua mereka berkata demikian selepas ditemui pada Program Gerak Gempur PRU15 Pemuda Pasir Salak baru-baru ini. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.