Kebijaksanaan MKT Tentukan Tempoh Masa Sokong PN – Tajuddin

PASIR SALAK, 7 April – Keputusan untuk menetapkan tempoh masa menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada kebijaksanaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang turut menganggotai badan tertinggi parti itu.

Jelas Tajuddin, amanah daripada perwakilan semasa Perhimpunan Agung UMNO lalu merupakan tanggungjawab yang harus diputuskan sebaik mungkin.

“Perhimpunan agung telah memberikan mandat kepada MKT untuk tentukan cepat atau lambat, itu biar MKT yang fikir sebab itu mandat yang telah diberi.

“Keputusan yang muktamad adalah ketika perhimpunan agung, tapi MKT ditugaskan untuk membincangkan tempoh menolak Bersatu dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

“Untuk melaksanakan keputusan menolak jangan dipersoalkan lagi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak turut berharap tiada lagi spekulasi yang timbul membabitkan keputusan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PN kerana ianya telah pun dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan yang hadir.

“Usul menolak Bersatu itu usul hitam putih yang dibahaskan oleh perwakilan semasa perhimpunan agung, mereka semua bersetuju meluluskan usul itu.

“Itu ketetapan kelulusan yang kita kena faham tidak ada pertikaian lagi, tapi sekarang ini masih ada lagi yang pertikai,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.