Ahli Politik Jiwa Kental, Tak Mudah Koyak – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui media mempunyai strategi yang tersendiri untuk melariskan laporan berita.

Katanya, sebagai pemimpin politik beliau memahami keadaan tersebut malah percaya tajuk-tajuk yang diberikan haruslah bersifat lebih dramatik untuk menarik perhatian rakyat.

“Jika mahu menjadi ahli politik atau pemimpin, jiwa mesti kental. Kalau mudah koyak lebih baik jadi Makcik Kiah.

“Apa yang boleh saya katakan adalah media melaporkan fakta dan fokus sesebuah berita adalah mengikut ‘tuan’ mereka. Berkaitan pemilihan tajuk, ia kepakaran mereka untuk menarik minat pembaca.

“Sama seperti laporan ke atas kes mahkamah saya, hanya bahagian tertentu yang dipetik. Lebih-lebih lagi melibatkan ‘point’ negatif. Jika melibatkan perkembangan positif saya percaya ia tidak akan tulis, seperti yang saya katakan media mengikut tuan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kata Pengerusi Barisan Nasional itu lagi, namun yang lebih parah apabila segelintir pihak yang hanya membaca tajuk tanpa membaca isi kandungan.

Menurut Ahmad Zahid, tambahan pula dengan penggunaan media sosial, semua pihak bebas untuk memberikan sebarang komen mengikut pandangan masing-masing.

“Apabila tajuk mengelirukan maka komen yang diberikan juga negatif. Ia tidak dapat dielak dan dibendung.

“Saya akui tajuk memang mengelirukan sedangkan bahan berita yang dilaporkan tidak seperti yang digambarkan tajuk. Apabila sesebuah berita disiarkan di media sosial, komen netizen adalah paling sukar untuk dikawal.

“Keadaan ini bukan sahaja berlaku dalam laman sosial media utama bahkan media sosial yang lain seperti Seremban Macam Macam Ada mahupun Siakap Keli,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit