Gelembung Pelancongan: Bagaimana Cara Nak Melalui Negeri PKPB? – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan merentas negeri di antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar mulai 10 Mac 2021.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan bagaimana cara untuk negeri PKPP yang ingin bercuti ke negeri PKPP lain namun perlu merentasi negeri PKPB.

“Saya cuma ingin bertanya jika orang Melaka mahu bercuti ke Perlis, bagaimana cara untuk ke negeri itu?”

Ini kerana katanya, bagi negeri PKPB ia tidak dibenarkan dan aktiviti itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“SOP ketat juga perlu menggunakan kenderaan pelancongan berdaftar. Pergerakan mengunakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan,” katanya dalam hantaran melalui facebooknya, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan bahawa dalam perkembangan semasa negeri yang terlibat PKPP adalah Perlis, Melaka, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pahang, Terengganu, Sabah dan Labuan sementara negeri yang terlibat PKPB adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak.

“Jika menggunakan laluan udara ia tiada masalah, tetapi jika menggunakan kereta pelancongan berdaftar adakah ia akan dibenarkan?

“Setahu saya dari Melaka perlu melalui negeri PKPB iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Kedah.

“Minta maaf, saya terlupa bagi laluan udara di Perlis tiada lapangan terbang, maka memerlukan mendarat di Kepala Batas, Kedah. Jika mendarat di Kedah adakah akan dibenarkan ke Perlis?” soalnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit