Perlu Cakna Dapatan Kaji Selidik, “UMNO Mesti Popular Sebab UMNO”
TERTARIK dengan dapatan kaji selidik dua akhbar besar – Sinar Harian dan Sin Chew Daily.
Walaupun sampelnya tidak sempurna – tetapi sekilas pandang, ia tidaklah terlalu jauh tersasar dari segi pecahan kaum atau julat umur. Kurang pasti pecahan geografi, tahap pendapatan dan sebagainya. Boleh rujuk lampiran untuk menilai sendiri kebolehyakinan sampel.
Beberapa dapatan yang wajar diambil maklum untuk pengamal politik, serta perkongsian pandangan saya:
1. Ramai yang masih belum buat keputusan hendak menyokong parti mana. (~14%)
– 14% ini boleh menentukan menang/kalah banyak kerusi di PRU.
– Justeru, gerak kerja mesti ambil kira sentimen atas pagar ini, bukan hanya sentimen ahli parti. Parti yang memperjuang hal rakyat kebanyakan, dengan tawaran menarik yang boleh diyakini barangkali akan ada kelebihan.
2. PH masih ada tempat di hati rakyat. (14.4% PKR; 12.1% DAP; 7.6% PAN)
– Jika diandaikan ketiga-tiga parti ini tidak akan bertembung sesama sendiri, bermakna ada hampir 35% responden yang memilih PH – bukan angka kecil.
– Ini penting kerana adakalanya dalam kamar gema Facebook / WhatsApp atau dalam pergaulan sesama sendiri, kita mudah menganggap PH sudah tidak popular. Wujud risiko kita terlalu percaya sentimen “rakyat rindu BN”.
Sedangkan realiti keseluruhannya mungkin tidak semudah itu. Sebagai contoh, selain ‘bubble’ Facebook, cuba lihat ‘bubble’ Twitter, Instagram dan Clubhouse untuk keluar zon selesa lantas menyaksikan zon yang cenderung ke PH. Mereka ada, dan angka mereka bukan kecil.
3. UMNO mesti menang sokongan bukan ahli/penyokong tegar.
– UMNO menduduki pilihan parti yang ketiga tertinggi dengan 10%; yakni mengatasi parti selain PKR dan DAP dalam kaji selidik ini.
– Di banyak kawasan, ahli UMNO adalah sekitar 10-20% pengundi. Mungkin sampel kaji selidik ‘underrepresent’ ahli dan penyokong UMNO, tapi dapatan ini tetap menimbulkan cabaran buat UMNO terus meraih sokongan ‘non ahli’.
– Antara lain, gerak kerja kita tidak boleh sekadar tertumpu kepada ahli sendiri. Perlu beralih dari pendekatan di mana dari 10 program, 8 atau 9 adalah eksklusif bersama orang UMNO.
Benar dan wajib diakui – kursus, taklimat, kelas, perjumpaan antara ahli/jentera semuanya mustahak. Tanpa jentera, parti akar umbi seperti UMNO tak ke mana. Tetapi dialog dan libat urus bersama ‘non ahli’ segenap lapisan juga mesti diperhebat supaya (saya ulangi) tiada sindrom “kamar gema” menjurus kepada “syok sendiri”.
4. Parti MUDA ada penyokong.
Boleh tafsir sendiri adakah tarikan lebih 5% kepada MUDA disebabkan kurang gemar kepada parti-parti tradisional massa/’arus perdana’ atau adakah golongan muda memang mahukan lebih ramai wakil rakyat dari generasi mereka.
Apapun tafsiran atau andaian, ternyata parti massa baik dalam BN/PN/PH perlu mengiktiraf ‘undercurrent’ di kalangan golongan muda yang semakin resah dengan situasi ekonomi dan politik tanah air. Tidak wajar sesiapa leka dengan sebarang andaian mudah bahawa MUDA hanya parti elit yang tidak akan sokongan di bawah.
—-
Bagi saya, rumusan utamanya adalah persaingan dan pertandingan masih terbuka. Tiada parti dan pihak boleh mendabik dada, jauh sekali angkuh.
Fokus UMNO sepertimana yang saya sebut di media adalah untuk meningkatkan populariti UMNO di mata rakyat. Tiada lagi gelombang besar anti-PH sepertimana dahulu untuk kita ‘ride’ dengan mudah jauh sekali percuma.
Tambahan lagi, dalam senario UMNO membuat keputusan tiada kerjasama dengan PPBM dalam PRU15, maka UMNO perlu sahut cabaran besar yakni “UMNO mesti popular sebab UMNO”.
Dalam erti kata lain, tidak boleh terlalu bergantung harap kepada mana-mana gagasan besar ataupun kelebihan ‘incumbency’, meski kita terus memelihara dan memperkukuh persahabatan dalam Muafakat Nasional.
Sekian perkongsian dan peringatan kepada semua termasuk diri sendiri. Wallahu a’lam. – UMNO ONLINE
Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO