UMNO Pahang Terus Komited Dan Konsisten Perkukuhkan Muafakat Nasional – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengulangi pendirian UMNO negeri itu bahawa mereka akan terus komited dan konsisten dalam mengukuhkan lagi persepakatannya dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) di negeri berkenaan.

Menurut beliau, sepertimana pendirian sama dinyatakan sebelum ini, begitulah juga yang dizahirkan pada pertemuan kepemimpinan tertinggi MN Pahang malam tadi yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Timbalannya, Andansura Rabu.

“Ini merupakan pertemuan kesekian kalinya diadakan antara kedua-dua barisan kepemimpinan parti. Pertemuan malam tadi turut membincangkan pelbagai perkara khususnya berkaitan gerak atur kerja bersama bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

“Berkaitan MN Pahang, saya telah secara konsisten menyebut betapa ia merupakan persepakatan terbaik demi menyaksikan kesinambungan dan kestabilan Kerajaan yang ada pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) sekarang, serta Kerajaan Negeri tempoh pasca PRU-15 kelak.

“Lagipun, persepakatan sebeginilah yang dituntut bukan sahaja oleh ahli-ahli kedua-dua parti UMNO dan PAS, malah turut diterima baik serta dituntut juga oleh rakyat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media menerusi Facebook, hari ini.

Wan Rosdy yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO seterusnya berkata, sejarah juga membuktikan di sebalik jatuhnya kerajaan pusat pimpinan BN pada PRU-14 lepas namun di Pahang (selain di Perlis), BN yang ditunjangi UMNO, terus-menerus mendapat mandat rakyat untuk memerintah tanpa henti selama lebih 60 tahun kini.

“Dengan kekuatan yang ada pada BN negeri yang UMNO tunjangi, dan diperkukuhkan lagi dengan penyertaan PAS menerusi MN Pahang,i saya yakin, Insya Allah perjuangan bersama kita menghadapi PRU-15 akan membuahkan hasil yang lebih daripada disasarkan.

“Oleh itulah saya berharap, kita sama-sama perkukuhkan persepakatan kita ini yang tentunya bersandarkan atas faktor kejujuran dan setiakawan sejati demi menyaksikan bangsa, agama dan bumi Pahang kita terus terpelihara,” katanya.

Antara kepimpinan PAS lain yang turut serta  pada pertemuan malam tadi ialah Ketua Penerangan, YB Ustaz Tarmizi Yahya, Setiausaha Badan Perhubungan, Encik Hasanuddin Salleh dan Pengarah Pilihanraya, Encik Hamdan Abdullah.

Barisan kepimpinan UMNO pula terdiri daripada  Timbalan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Hassan Ariffin, Bendahari, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, Ketua Penerangan, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha, Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit