Hayati Sejarah Keazaman Satukan Melayu, 1 Mac Kongres Pertama Kebangkitan Melayu 1946 Diadakan

PULAU PINANG, 1 Mac – Tokoh Melayu Terbilang 2017, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff, 91, mengajak bangsa Melayu untuk menghayati sejarah kebangkitan dan penyatuan bangsa kerana pada tarikh 1 Mac 1946, Kongres Pertama Kebangkitan Melayu telah berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Katanya, pada tarikh 1 Mac, buat pertama kali dalam sejarah Kongres ini dihadiri oleh sebanyak 41 buah pertubuhan dan Persatuan Melayu merentasi kenegerian dan daerah dari seluruh Persekutuan Tanah Melayu.

“Marilah kita hayati perjuangan pemimpin yang menanamkan keazaman agar bangsa Melayu bersatu sehingga dengan penyatuan ini maka tertubuhnya UMNO untuk mengembali semula kedudukan dan kedaulatan Raja Raja Melayu dan seterusnya berjaya mengusir keluar penjajah ‘keparat’ dari bumi Persekutuan Tanah Melayu yang tercinta ini,” katanya yang juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG).

Jelasnya, PEMENANG adalah antara 41 buah persatuan yang hadir dalam Kongres Pertama Kebangkitan Melayu dan masih wujud sehingga ke hari ini yang berfungsi sebagai sebuah NGO untuk terus memainkan peranan dalam perjuangan bangsa.

“Oleh yang demikian bersempena dengan hari yang bertuah iaitu hari kita menyambut ulang tahun yang Ke-75 marilah kita sebagai pewaris bangsa dan negara tercinta ini menghayati samula kata-kata hikmat wira terbilang negara, Allahyarham Dato Sir Onn bin Jaafar dan terus berazam untuk kita bangsa Melayu, ‘bersatu samula saperti mana kita pernah bersatu’ sehingga dengan penyatuan kita untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Dalam hal ini, beliau turut menyertakan tulisan dan petikan ucapan dari Kongres Pertama Kebangkitan Melayu 1946:

Satelah Duli Yang Maha Mulia Sultan Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor menitah penghisytiharan mersamikan Kongres Melayu Pertama Yang Bersejarah, Dato Sir Onn telah menyampaikan Ucapan Sulong sebagai Pengerusi Kongres.

Kata Kata keramat Dato Onn dalam Ucapannya ialah:-

“Marilah kita tunjukkan kepada dunia iaitu roh dan semangat datuk nenek kita itu masih lagi dengan kita.
“Bersatulah sebagaimana belum pernah kita dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha.”
UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit