Cabaran Pendidikan Akibat Pandemik COVID-19 – Hahasrin

 

PADA 1 Disember 2020 ketika saya membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020 iaitu Belanjawan Johor 2021, saya ada menyentuh bagaimana membantu ibu bapa yang mempunyai kekangan kemudahan alat peranti serta kaedah sesi pembelajaran atas talian.

2. Apa yang saya bahaskan itu termasuk pertimbangan seiring situasi yang dihadapi sekarang, terutamanya sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

TIDAK MEMPUNYAI ALAT PERANTI ATAU GAJET

3. Alat peranti yang dimaksudkan ini ialah laptop dan telefon pintar atau gajet atau mungkin mesin pencetak. Menurut dapatan Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyatakan 37% daripada 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara, lebih kurang 1.7 juta pelajar tidak mempunyai alat peranti yang diperlukan. Angka ini tidak termasuk pelajar yang menuntut di matrikulasi, IPT awam dan swasta.

4. Jika ada alat peranti atau gajet pun, ia tetap menimbulkan masalah penggunaan apabila bilangan isi rumah yang bersekolah melebihi 3 orang. Situasi ini terikat dengan jadual waktu belajar yang bertindih pada satu-satu masa yang sama.

5. Itu belum lagi latihan yang diberikan melalui medium WhatsApp dan seumpamanya. Pastinya, menjadi isu lain seperti ibu bapa yang sedang bekerja serta di mana pelajar ini perlu mencetak latihan yang guru berikan?

BANTUAN DAN KAEDAH PENDEKATAN LAIN AMAT WAJAR

6. Pertama, saya pernah mencadangkan agar bantuan pembelian alat peranti baharu mahu pun terpakai melalui pemberian rebat atau kaedah ansuran bagi isi rumah (pelajar sekolah) yang berkelayakan.

7. Yang kedua pula, kaedah bersesuaian lain seperti membenarkan pelajar yang betul-betul memerlukan untuk menggunakan kemudahan di makmal komputer bagi sesi pembelajaran atas talian boleh dipertimbangkan.

8. Seterusnya, modul pembelajaran, nota dan latihan boleh dicetak siap-siap untuk ibu bapa atau pelajar boleh mengambilnya sekurang-kurang sekali seminggu di sekolah. Edaran ini pasti cara yang terbaik serta memudahkan pelajar membuat rujukan ketika menghadiri kelas secara atas talian.

9. Keempat, selaras Belanjawan Persekutuan 2021 menerusi bantuan 150,000 unit komputer riba untuk pelajar sekolah melalui Tabung CERDIK juga wajar disegerakan dan diperluaskan lagi.

10. Kelima pula, bantuan pelan data internet juga harus diperluaskan, serta syarikat telekomunikasi perlu memperluaskan perkhidmatan capaian internet yang baik kepada pengguna.

CABARAN MEMBINA NEGARA BANGSA MELALUI PENDIDIKAN FORMAL

11. Sesuai dengan banyak isu yang diperkatakan, Kerajaan boleh mengambil banyak cadangan yang baik seperti diutarakan oleh masyarakat sama ada melalui media sosial atau media cetak. Diharapkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kerajaan Negeri lebih serius terhadap situasi ini.

12. Saya berharap PdPR dapat dilaksanakan secara optimum tanpa ada golongan yang tercicir. Pendidikan berkualiti amat penting kepada masa hadapan generasi muda, negeri dan negara walaupun mendepani gelombang pandemik yang entah bila berakhir ini.

Hahasrin Hashim
ADUN Kawasan Panti,
Naib Ketua UMNO Bahagian Tenggara.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.