Skuad Sayang Wanita UMNO P. Pinang Gerakkan Misi Bantuan Mangsa Banjir
PULAU PINANG, 10 Jan – Skuad Sayang Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang hari ini menggerakkan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Negeri Pahang dengan menghulurkan bantuan berbentuk barangan keperluan asas.
Kata Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim, semua barangan yang dihantar adalah hasil dari kutipan dan sumbangan yang mereka perolehi.
“Pada hari ini Skuad Sayang Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang akan menghantar lori dengan muatan beberapa barangan keperluan yang akan kita sumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir di Negeri Pahang. Lori akan bertolak selepas dilancarkan oleh Presiden terus ke Temerloh, Pahang kemudian ke Raub.
“Yang pentingnya usaha ini kami Wanita UMNO Pulau Pinang membuat kutipan dan ingin menyumbang kepada mangsa-mangsa banjir sekurang-kurangnya (melegakan) sedikit bebanan mereka.
‘Sumbangan ini kebanyakannya pakaian, sejadah, telekung dan keperluan asas yang perlu kerana saya difahamkan mangsa-mangsa banjir ini terpaksa ke pusat pemindahan dengan sehelai sepinggang sahaja. Jadi sebagai Wanita kita sangat prihatin kena pastikan bahawa keperluan asas mereka dapat kita bantu,” katanya kepada UMNO Online, tengah hari tadi.
Misi Bantuan Banjir Skuad Sayang Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang itu kemudiannya dilancarkan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Seberang Jaya, di sini.
Sebelum itu, Ahmad Zahid telah mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan UMNO Bahagian-bahagian dari seluruh negeri.
Jelas Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, barangan-barangan yang mereka berikan adalah berdasarkan keperluan yang amat diperlukan oleh mereka yang terjejas.
“Saya sendiri telah membuat lawatan beberapa hari yang lalu, apabila jalan terputus khususnya sewaktu saya ke Lanchang, Temerloh memang sangat-sangat kasihan… tengok mangsa-mangsa banjir dengan anak, bayi, warga emas tapi Alhamdulillah saya melihat Kerajaan Negeri Pahang bertindak dengan begitu cepat sekali dan mereka sediakan khemah-khemah bagi saya boleh dikatakan selesa dan makanan juga saya difahamkan mencukupi cuma bantuan dari segi pakaian masih berkurangan.
“Jadi di sini kita hendak pastikan bantu bekalkan barangan yang sukar untuk mereka dapatkan sebab bila laluan terputus… memanglah (sukar) seperti susu bayi, lampin pakai buang hendak beli di kedai dan hantar pun agak sukar… jadi kita bantu barangan yang diperlukan oleh mangsa-mangsa bencana sebagaimana yang dimaklumkan kepada saya oleh Wanita UMNO Negeri Pahang,” katanya.
Begitu juga katanya, Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang akan berkolaborasi dengan sukarelawan dan pelajar khususnya dari Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melakukan kerja-kerja pasca banjir.
“Semalam saya ada membuat satu perjumpaan dengan Majlis Perwakilan Pelajar USM. Sebab saya rasa untuk mencuci rumah selepas pasca banjir lagi teruk sebenarnya… jadi kami Wanita UMNO Pulau Pinang ingin bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar USM mungkin kita akan hantar pasukan apabila air telah mula surut di mana kerja-kerja pembersihan kita akan bantu,” ujarnya. – UMNO ONLINE