Wawancara Eksklusif Bersama MB Perak : Pandang Ke Hadapan, Ambil Iktibar “Kerajaan Ping Pong”
1. Tahniah daripada UMNO-Online atas perlantikan Datuk sebagai Menteri Besar Perak ke-14. Apa perasaan yang boleh dikongsikan setelah dilantik menjawat jawatan berkenaan?
Pertamanya saya bersyukur kepada Allah SWT kerana seperti yang saya pegang selama ini..’wamakaru wamakarallah..wallahu khairulmakirin‘. Manusia boleh merancang dan Allah juga merancang..sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang. Jadi saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izinnya, dengan rahmatnya saya telah diperkenankan oleh Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang ke-14.
Pada waktu yang sama saya menginsafi bahawa jawatan MB (Menteri Besar) ini bukanlah untuk dibanggakan kerana yang datang bersama jawatan ini adalah tanggungjawab besar yang perlu saya pikul dan jawatan yang datang ini datang bersama-sama dengan amanah yang perlu saya lunaskan kerana Allah SWT.
Jadi saya sedar saya insaf sebaik sahaja saya mengangkat sumpah sebagai MB maka di atas bahu saya terletaknya segala amanah dan tanggungajwab untuk saya menunaikan amanah bagi membangunkan negeri Perak ini untuk kebajikan dan kepentingan seluruh rakyat negeri.
Sudah tentu saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada semua pihak. Jadi saya bersyukur dan insafi dan menyedari ini adalah tanggungjawab yang sangat besar yang perlu saya lunaskan hari ini.
2. Setelah terbentuknya kerajaan hari ini sudah tentunya sekarang adalah masa untuk bekerja. Sudah pasti tidak lagi perlu wujudnya perasaan syak wasangka dan sebagainya antara satu dengan yang lain. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
Saya tidak boleh menunaikan tanggungjawab ini bersendirian dan sudah tentu saya perlukan pasukan kerja yang jitu dan saya perlukan pasukan kerja yang bersedia bersama-sama untuk menunaikan tanggungjawab ini. Jadi oleh kerana tertubuhnya kerajaan ini berasaskan kepada tiga parti utama iaitu UMNO, Bersatu dan juga PAS maka sudah tentu saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada selain daripada rakan-rakan 24 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO, saya perlukan sokongan dan dokongan daripada empat orang rakan-rakan ADUN Bersatu dan juga sokongan Adun PAS.
Jadi dengan sokongan serta dokongan ini walaupun kita datang daripada parti yang berbeza, daripada falsafah yang berbeza tetapi saya percaya jika kita mempunyai keikhlasan untuk tujuan yang sama iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat kerana Allah SWT maka insya-Allah, Allah akan satukan hati-hati kita ini.
Jadi daripada kesatuan hati itulah saya percaya kita insya-Allah akan dapat mengorak langkah apatah lagi di awal tahun 2021 kita sedar pandemik COVID-19 sedang menanti dan dengan keadaan itu kami perlu melihat ke depan. Jadi dalam perjumpaan saya dengan ketua-ketua jabatan saya dah sebutkan marilah bekerja bersama saya dan terimalah saya seadanya dan saya tidak ‘perfect’, saya tidak sempurna dan saya yakin ketidaksempurnaan saya itu dapat ditampung oleh kekuatan yang ada di kalangan ketua-ketua jabatan kerajaan.
3. Ramai yang melihat politik di Perak ini cukup dinamik dan juga dramatik. Dan ini juga antara yang disentuh di dalam titah Paduka Seri Sultan Perak. Bagaimanakah Datuk mentafsir perkara ini?
Pertama sekali saya menjunjung kasih di atas titah ucapan tuanku itu dan saya percaya tuanku tidak menujukan ucapan itu kepada seseorang sahaja. Titah berkenaan ditujukan kepada semua pemimpin terutama pemimpin-pemimpin politik. Yang tersirat daripada titah ucapan tersebut adalah tuanku mahukan pemimpin-pemimpin politik meredakan keadaan.
Kurangkan politiking. Keseluruhan perhatian kita hendaklah difokuskan kepada menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat akibat daripada COVID-19. Jadi dengan titah ucapan berkenaan saya yakin kalau semua pemimpin politik mengambil iktibar daripadanya sudah tentu kita dengan sedaya upaya melakukan gencatan politik, dengan sedaya upaya tidak lagi tuding-menuding antara satu dengan yang lain…mari kita melihat ke dalam diri masing-masing jika ada kelemahan mari kita perbaiki kelemahan itu.
Jika ada kerenggangan mari kita rapatkan kerenggangan itu, kita tidak ‘perfect’ dan ketidaksempurnaan itu boleh kita kongsi bersama-sama dengan kekuatan yang ada di kalangan kita. Jadi dengan seruan itu dan saya juga mengambil seruan berkenaan kepada diri saya dan saya perlu mengelak daripada terus menerus berpolitik kerana masa sekarang adalah masa untuk bekerja bagi kesejahteraan rakyat.
4. Bersandarkan kepada situasi hari ini yang mana kewujudan kerajaan dengan ‘slim majority’, apakah selepas ini diharapkan tidak ada lagi drama–drama dan sejauh mana Datuk melihat benda ini akan dituruti oleh semua pemimpin politik?
Ini adalah satu peristiwa, satu keadaan yang hasil daripada Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-14. Rata-rata kerajaan yang dibentuk berasaskan majoriti yang sangat nipis. Keadaan ini sebenarnya tidak sihat di mana-mana kerana majoriti yang sangat tipis ini menggambarkan kerajaan sedia ada itu tidak cukup kuat dan pembangkang pula sentiasa mengintai peluang.
Jadi ini dipanggil kerajaan ‘ping-pong’. Sekejap ke kanan dan ke kiri. Itu tidak baik untuk kesejahteraan dan pembangunan Malaysia dan juga kerajaan negeri. Jadi kerana itu rakyat boleh mengambil iktibar daripada peristiwa ini iaitu apabila datangnya pilihan raya kita kena membuat ketetapan untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat kerana kerajaan yang kuat ini mempunyai keyakinan untuk merangka dan melaksanakan program pembangunan.
Jadi sebuah kerajaan yang tidak kuat dan menang dengan majoriti tipis pelabur luar tidak yakin untuk masuk. Apabila pelabur luar tidak yakin kesannya adalah kepada pembangunan ekonomi. Tidak ada pelabur masuk dan tidak ada industri yang dibuka dan peluang pekerjaan akan menjadi kurang. Itu menyebabkan ekonomi kita merundum dan pada masa yang sama kuasa membeli di kalangan rakyat akan semakin parah.
Jadi kerana itu iktibar daripada ini saya ingat rakyat yang matang kita Alhamdulillah diberi peluang oleh Allah SWT untuk menilai supaya kita akhirnya nanti membuat keputusan untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat.
Tidak ada kerajaan yang sempurna dalam mana-mana tempat. Tidak ada orang yang sempurna. Jadi janganlah mengambil ketidaksempurnaan itu sebagai suatu sebab kita hendak memilih orang lain. Sebab orang lain pun tidak sempurna. Jadi kalau ketidaksempurnaan itu yang menjadi penyebab kita memilih sebuah kerajaan akhirnya kita akan dapat kerajaan yang tidak sempurna.
Oleh kerana itu kita kena ke depan…mengapa dahulu…mengapa dahulu 60 tahun zaman Barisan Nasional (BN) kita dapat mengadakan pembangunan yang begitu baik sebab kita ada kerajaan yang kuat… Apa pun kita memerlukan pembangkang sebagai ‘check and balance’ sebagai pengkritik tetapi bukanlah pembangkang yang terlampau kuat sehingga menjadikan kerajaan tidak selesa untuk membuat pembangunan.
Jadi pengalaman BN selama 61 tahun…60 tahun menjadi kerajaan yang kuat walaupun ada kelemahan di sana-sini akhirnya oleh kerana fitnah, oleh kerana maklumat-maklumat yang salah, oleh kerana orang dihasut maka hasil daripada hasutan kita mendapat sebuah kerajaan yang tidak kuat. Kerajaan yang majoriti kecil dan kerajaan majoriti kecil itu menjadi kerajaan yang ‘ping-pong’.
5. Ujian seterusnya sudah pasti adalah soal Belanjawan 2021 Perak. Boleh Datuk kongsikan perkara ini kerana tentunya dalam tempoh yang singkat dengan pelbagai cabaran yang ada di depan sudah pasti menuntut kepada perbelanjaan yang sebaiknya.
Saya menyedari sebaik sahaja saya dilantik sebagai MB, tugas utama yang sangat besar dan mendesak sekarang adalah untuk mempastikan Bajet 2021 Perak insya-Allah kita akan bawa pada hari Rabu ini dapat dibahaskan dengan baik dan akhirnya diluluskan.
Dalam perbincangan bersama rakan-rakan serta pegawai-pegawai kerajaan kita tidak akan mengubah perkara-perkara yang telah pun kita persetujui bersama dan telah dicetak dalam buku belanjawan itu kerana antara orang yang terlibat dengan perbincangan dalam Exco kerajaan negeri saya sendiri dan juga beberapa rakan lain. Kami sudah terlibat dalam pra-perbincangan perbahasan untuk meluluskan buku bajet itu dalam Exco kerajaan negeri. Jadi ‘unfair’ kalau saya nak ubah semula.
Keduanya kekangan masa dan kita tidak sempat untuk mencetak semula. Kalau ada perkara-perkara baru kita boleh buat di dalam apa yang dipanggil ‘supplementary’ bajet kemudian. Jadi untuk sementara waktu ini untuk secara formalitinya Exco hendaklah meneliti dan meluluskan bajet itu. Buku bajet itu akan saya bawa pada hari Selasa dan kita telah putuskan untuk menjemput semua 59 ADUN datang mendengar taklimat.
Barangkali ini kali pertama di negeri ini kita memanggil 59 ADUN untuk diberi taklimat dan tujuannya adalah untuk mereka memahami apa yang terkandung dan semasa mereka mengambil bahagian dalam perbahasan adalah perbahasan berasaskan pengetahuan masing-masing apakah kandungan tersebut. Jadi pada hari Rabu insya-Allah saya akan membentangkan bajet tersebut dan dibahaskan pada hari Khamis dan Jumaat kita akan gulung dan insya-Allah akan diluluskan.
Jadi apabila bajet ini diluluskan barulah kita boleh berbelanja pada bulan Januari 2021. Barulah kita boleh laksanakan pembangunan dan boleh keluarkan arahan kepada ketua-ketua jabatan untuk merangka atau melaksanakan program yang telah mereka cadangkan. Sebab bajet ini dibuat setelah kita adakan bajet dialog di kalangan ketua jabatan dan itu adalah datang dariapda cadangan mereka dan apabila diluluskan maka ketua jabatan kena melaksanakan.
Jadi apa yang kita cadangkan itu adalah supaya bajet ini bajet yang boleh merangsang pembangunan ekonomi, bajet yang boleh memberi keyakinan kepada rakyat Perak bahawa mereka selamat dan kebajikan mereka kita jaga. Bajet ini menentukan kebajikan rakyat terbela.
6. Setelah dilantik MB, sudah pasti cabaran seterusnya yang akan menanti adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik. Bagaimana Datuk melihat soal ini pula?
Sebenarnya PRK Parlimen Gerik ini tidaklah patut menjadi masalah besar. Pertama secara kebetulan sehari sebelum Allahyarham Datuk Hasbullah (Hasbullah Osman) meninggal dunia kita ada mesyuarat UMNO di kalangan ketua-ketua UMNO bahagian dan seperti biasa Allahyarham yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan berada di sebelah kiri saya. Jadi setelah habis mesyuarat beliau menyebutkan bahawa di Gerik…Perak sebelum ini telah buat persiapan pilihan raya sudah agak jauh ke depan dan kami sudah pun mengadakan peringkat naziran dan lantik penazir untuk turun ke bahagian-bahagian tentang persiapan masing-masing kerana pada waktu itu kita beranggapan akan ada pilihan raya negeri.
Jadi di Gerik sepertimana bahagian-bahagian lain mereka telah buat persiapan bukan kerana PRK…persiapan dengan jangkaan mungkin akan ada pilihan raya negeri. Jadi di peringkat bahagian telah ada penubuhan jawatankuasa pilihan raya….sudah kenalpasti ketua-ketua pusat daerah mengundi ….sudah hampir mengadakan taklimat dan sebagainya. Dan saya yakin mereka telah bersiap siaga. Dari segi kesiapsiagaan saya rasa Gerik tidak ada masalah dengan perpaduan yang ada itu dengan pengalaman yang ada dengan kekuatan yang ianya satu kelebihan. Bab kesiapsiagaan saya tidak ada kebimbangan.
Cuma saya tidak pasti sama ada SOP-SOP (prosedur operasi standard) daripada MKN (Majlis Keselematan Negara) barangkali sedikit sebanyak akan menyekat pergerakan jentera parti sebab kita faham cara UMNO bekerja, kita menggunakan jentera Jalinan Rakyat di mana Wanita UMNO akan berkunjung dari rumah ke rumah menyantuni pengundi. Jadi kalau ada ada SOP yang akan menyekat ini, ianya akan sedikit sebanyak menjejaskan pergerakan.
Keduanya biasalah UMNO dengan jentera yang akan adakan ceramah…baik kecil-kecilan, sederhana besar dan ceramah kelompok besar. Kita selalu buat di mana-mana PRK. Justeru kalau ada SOP yang mengatakan tidak boleh sedemikian barangkali ada sedikit masalah namun ianya ada pilihan kita boleh adakan ceramah secara ‘online’…kita boleh buat ‘live streaming’ dan sebagainya. Jadi kalau setiap kumpulan kecil ada ‘whatsapp group’ dan sebagainya semua ini boleh berfungsi dengan baik dan sebagainya kita boleh adakan secara maya.
Kerja-kerja pengurusan untuk hari mengundi sepertimana PRK sebelum ini…kalau ada arahan dan sebagainya berkenaan SOP tidak boleh dan kita berharap pengundi boleh keluar sendiri ke tempat mengundi. Itu sahaja pada saya yang barangkali akan menjadi pengalaman baru dan tidak seperti berlaku di Slim dan Chini. Masih boleh adakan perjumpaan dalam kadar tertentu dan masih boleh berkunjung rumah ke rumah dan masih boleh berada dalam kelompok ramai dengan penjarakan sosial dan memakai ‘mask’.
Jadi kalau SOP Slim itu digunapakai untuk Gerik ia memadai. Jadi Gerik sekarang adalah kawasan hijau ‘hopefully’ MKN tidak terlalu memberikan SOP yang terlampau ketat. Seperti mana Slim memadai.
Jika ditanya persiapan kita bersedia dan saya cukup yakin kalau tiga parti ini boleh bercantum, pada PRU lalu PAS ada 7,000 undi, UMNO dapat 13,000 dan dua parti ini sahaja sudah mencecah 20,000 dan ditambah PPBM ada (menjadi) lebih daripada 20,000. Sudah tentu tidak ada cabaran dan Dap mengatakan tidak akan letak calon kecuali ada calon Bebas. Walaupun ada calon Bebas kita tetap kena bekerja dan tidak boleh ‘take for the granted’. Jadi saya cukup yakin kalau ada PRK dan kalau ada tentangan pun insya-Allah UMNO akan dapat memenangi malahan dengan majoriti yang besar.
7. Dengan kes COVID-19 yang melanda negara hari ini, mungkinkah Datuk ada harapan kalau boleh tidak perlu ada pertandingan… dan seboleh-bolehnya janganlah ada mana-mana pihak ‘pasang’ calon Bebas dan sebagainya.
Itu doa kitalah… Saya percaya sesiapa pun yang masuk bertanding dia kena masuk bertanding dengan keyakinan untuk menang. Mana-mana parti masuk pilihan raya dia kena masuk bertanding untuk menang. Kalau dah jangka dan kita semua tahu undi UMNO tambah undi PAS tambah undi Bersatu sudah jauh akan melepasi. Jadi tidak perlulah ada sesiapa yang cuba hanya sekadar untuk bermain-main…mencuba nasib sehingga menyebabkan risikonya tinggi.
Oleh kerana kita sepatutnya menang tidak bertanding tetapi kerana ada satu calon bebas menyebabkan kita terpaksa turun padang, berkempen dan sebagainya. Kalau dah semua bersetuju jangan pula ada orang menaja calon Bebas sebab pasti kalah. Bukan cakap besar tetapi buat apa bertanding untuk kalah dan berilah peluang kepada calon UMNO untuk menang tidak bertanding. – UMNO ONLINE
Oleh: Azman Abas