Hutang RM 1 Trilion Taksiran Yang Sengaja Dibuat Untuk Kelirukan Rakyat

SHAH ALAM 24 Julai – Ahli panel program diskusi N49 Dun Sungai Kandis, Datuk Seri Reezal Naina Merican berkata, hutang kerajaan sebanyak RM 1 trilion seperti yang diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan merupakan satu taksiran yang sengaja dibuat untuk mengelirukan dan bertujuan menanamkan kebencian rakyat terhadap kerajaan terdahulu.

Hakikatnya menurut Reezal, penarafan antarabangsa terhadap ekonomi dan kewangan negara berada di dalam keadaan yang baik dan mampu untuk berdaya saing.

“Hutang negara sebanyak RM 1 trilion yang berulang kali diulang-ulang oleh kerajaan itu sebenarnya boleh saja diperbahaskan.

“Ini kerana presentasi dalam bajet negara serta laporan kewangan Bank Negara sentiasa konsisten meletakkan kadar keberhutangan negara pada angka RM686 bilion.

“Apa yang saya mahu tekankan satu perkara di sini, walau apapun yang berlaku, peratusan hutang yang didakwa oleh kerajaan hari ini sebanyak 1 trilion, adalah pada paras 1.3 trilion KDNK.

“Ini memperlihatkan bahawa, katakanlah kita ambillah angka hutang 1 trilion itu, ia masih di paras 80 peratus KDNK.

“Bererti, kalau kita nak kata kedudukan hutang negara begitu teruk, saya kira ia merupakan satu taksiran yang sengaja dibuat untuk mengelirukan dan pada waktu yang sama untuk menanam kebencian di kalangan rakyat,” jelasnya.

Sebab itu kata beliau, sesebuah kerajaan tidak boleh memperdayakan rakyat dengan perkara-perkara yang hakikatnya tidak tepat, tetapi bukanlah jauh daripada fakta.

“Di dalam Al Quran juga ada sebut apabila kita bercakap tentang soal hak dan batil di mana Quran menyebut janganlah kamu selimutikan kebenaran itu dengan kebatilan. Walhal kamu tahu tahu kebenaran tersebut.

“Jika benar hutang negara sebanyak RM 1 trilion itu sekalipun, ia tidak akan menjadikan negara kita dalam keadaan yang cukup berisiko untuk menjadi bangkrap, kerana banyak lagi negara yang melepasi peratusan KDNK yang lebih tinggi seperti Singapura, Jepun dan lain-lain negara lagi berbanding Malaysia,”ujarnya.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.