Kerajaan PH Harus Ada Pertimbangan Waras Dan Bukan Terus-Terusan Tuding Jari

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir khalid berkata, kerajaan baru di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) seharusnya mempunyai pertimbangan yang waras dan bukannya hanya terus-terusan menyalahkan kerajaan terdahulu.

Jelas beliau, rakyat mahu melihat apa yang mahu dibawa oleh kerajaan baru dan bukannya mendengar alasan demi alasan.

“Dalam tempoh masuk bulan ketiga mereka memerintah, mereka masih terus bercakap bagaimana teruknya ‘rejim’ yang dulu di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pada saya kalau itulah kata-kata kepada rakyat dan masyarakat… saya tidak rasa rakyat menunggu itu sebab apa yang penting mereka perlu menunaikan janji yang mereka bagi.

“Sehingga kini mereka masih mencari salah sana salah sini… kerana itu tidak dapat nak tunaikan janji… alasan demi alasan diberi, ini sudah tidak betul,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Mahdzir, kerajaan sepatutnya memperhalusi janji mereka kononnya mahu membetulkan ekonomi negara.

“Mereka kata nak membetulkan ekonomi tapi tidak nampak lagi ekonomi nak dibetulkan. Kalau kita lihat kepada pasaran saham, kerisauan pelabur asing, FDI, kebimbangan polisi yang tidak jelas yang menyebabkan pelaburpun lari, harga saham berada di paras yang tidak menarik… maka ini adalah perkara-perkara yang sepatutnya diambil peduli oleh kerajaan hari ini disamping meletakkan semua janji dan dasar yang nak dibuat itu dilandasan yang btul.

“Inilah yang rakyat mahu lihat dan bukannya dengan menuding jari mencari alasan untuk tidak menunai janji,” tegas beliau.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 hadirin di majlis makan malam amal Tabung Harapan, anjuran 18 Gabungan Persatuan Cina Klang di Shah Alam mendakwa, Datuk Seri Najib Razak telah ‘merosakkan’ kerajaan dan jentera kerajaan dengan menyalahgunakannya bagi memperkukuh rejim pemerintahannya maka kerajaan memerlukan masa untuk memperbetulkannya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.